Sukan Lain

Skuad ragbi tujuh sebelah teruskan latihan

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) akan tetap meneruskan latihan skuad tujuh sebelah biarpun sukan itu tidak akan dipertandingkan di Sukan SEA Vietnam tahun depan.

Persekutuan Sukan Sea (SEAGF) terdahulu mengesahkan senarai sukan yang akan dipertandingkan di Vietnam selepas bermesyuarat bersama negara anggota baru-baru ini dan ragbi buat pertama kalinya tidak akan dipertandingkan sejak edisi Myanmar 2013.

Justeru Setiausaha kehormat Amrul Hazarin Hamidon berkata, mereka akan terus memberi fokus kepada program Sukan Asia 2026 bagi skuad lelaki dan wanita yang berpeluang untuk mencabar pingat.

"Kami memang mengemukan rayuan untuk menyenaraikan ragbi melalui Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan saya percaya semua empat negara teratas ketika Filipina turut mengemukakan rayuan.

"Sayangnya rayuan kami tidak berjaya tapi memang bukan satu yang mengejutkan kerana ragbi bukanlah sukan yang popular di Vietnam dan mereka juga tidak mempunyai persatuan di sana.

"Bagaimanapun latihan akan tetap diteruskan seperti biasa dengan Kejohanan Asia Tujuh sebelah akan menjadi fokus utama kami tahun depan (lelaki dan wanita) biarpun kejohanan itu masih lagi belum disahkan.

"Ragbi Asia akan terus memantau situasi Covid-19 dan keputusan akan dibuat kemudian," katanya.

MOM sebelum ini membuat rayuan 11 jenis sukan yang mana hanya tenpin boling disenaraikan.

Skuad ragbi lelaki kebangsaan berjaya mara ke pentas final Sukan Sea sebanyak tiga kali namun tewas kepada Filipina pada 2015, 2019 dan berjaya meraih emas di final 2017 menentang Singapura.

Skuad wanita meraih gangsa pada dua edisi terakhir.

Disiarkan pada: November 21, 2020 @ 7:46pm
d