Sukan Lain

PLBM harap PSM timbang hasrat pajak gelanggang

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Persatuan Boling Padang Malaysia (PLBM) berharap agar Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dapat menimbangkan hasrat mereka untuk memajak sebahagian dari venue Pusat Boling Padang Nasional Bukit Kiara di sini, kepada pihak swasta bagi tujuan pembangunan komersial.

Pemangku presidennya, Tengku Datin Seri Noor Hazah Tengku Abdul Aziz Shah berkata beliau dimaklumkan oleh wakil PSM menerusi satu perjumpaan baru-baru ini, bahawa dua daripada tiga padang digunakan skuad boling padang negara ketika ini akan dibangunkan pihak swasta.

"Ini (jika dipajak) bermakna hanya satu padang yang tinggal untuk skuad negara menjalani latihan biasa," katanya kepada Bernama, hari ini.

Beliau mendakwa dua padang sebelum ini telah dibangunkan sebagai Akademi Badminton Malaysia (ABM) yang menempatkan skuad badminton negara ketika ini.

"Sudah tentu kita rasa terkilan kerana hanya tinggal satu-satunya venue yang memenuhi kriteria. Dahulu kita ada lima padang, sekarang tinggal tiga padang dan saya difahamkan dua padang tidak berbumbung akan diambil alih oleh PSM untuk dipajak kepada pihak swasta," katanya

Mengulas lanjut, Tengku Noor Hazah menjelaskan kekurangan padang bukan sahaja menyukarkan skuad negara menjalani latihan, malah menjejaskan peluang Malaysia menganjurkan lebih banyak kejohanan antarabangsa pada masa akan datang.

Beliau menjelaskan venue di Bukit Kiara banyak digunakan untuk menganjurkan pelbagai kejohanan antarabangsa termasuk sewaktu Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 1998, selain Kejohanan Boling Padang Asia Pasifik pada 1999 dan 2009.

Dalam pada itu, PSM menerusi kenyataan balas memaklumkan cadangan pembangunan aktiviti berkaitan sukan bersama pihak swasta bukan bermakna venue di Bukit Kiara menjadi milik penuh pihak ketiga, sebaliknya pihak terbabit perlu menyerahkan kembali venue itu kepada PSM selepas berakhir tempoh perjanjian ditetapkan.

"PSM juga harus menilai semua cadangan diterima daripada semua syarikat yang berminat dengan lebih terperinci supaya perancangan dibuat mencapai matlamat dan memuaskan hati semua pihak," menurut kenyataan berkenaan.

PSM turut menegaskan pembangunan yang bakal dilaksanakan di Bukit Kiara bukan sahaja bertujuan meningkatkan industri sukan negara, malah memberi pengalaman baharu kepada penggiat sukan negara terutama golongan belia untuk menggunakan kemudahan yang ada di tempat berkenaan.

Disiarkan pada: November 27, 2020 @ 8:28pm
d