Sukan Lain

Khairul Anuar beri petanda positif

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Atlet memanah negara, Khairul Anuar Mohamad memberi khabar gembira apabila berjaya memecahkan rekod baharu kebangsaan dalam acara memanah recurve individu lelaki sekali gus meraih emas dalam acara berkenaan.

Olimpian itu membidik 690 mata ketika di peringkat kelayakan semalam, satu mata mengatasi rekod lama miliknya menewaskan rakan senegara, Muhamad Zarif Syahir Zolkefli dipentas akhir hari ini dengan keputusan 6-4.

Manakala tempat ketiga milik Haziq Kamarudin yang menewaskan Bryson Ting 6-0.

Kejohanan simulasi di Lapangan Sasar Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil menyaksikan Khairul Anuar yang sudahpun melayakkan diri ke temasya Olimpik Tokyo berjaya melakarkan kejayaan hatrik menguasai ketiga-tiga kejohanan simulasi yang dianjurkan sebelum ini.

Namun bagi Khairul Anuar, pencapaian itu satu yang menggembirakan dirinya kerana bukan mudah untuk terus kekal konsisten dalam setiap bidikan.

"Alhamdulillah saya puas hati dengan pencapaian ini tapi masih ada sedikit yang kurang yang perlu diperbaiki.

"Kedudukan badan ketika bidikan masih tidak cukup bagus, selain pungutan mata perlu diperbaiki lagi. Apa yang saya mahukan lepas ini adalah skor yang lebih baik," katanya.

Sementara itu dalam acara wanita emas dimenangi Syaqiera Mashayikh selepas menewaskan Nurul Azreena Fazil 7-1 manakala gangsa milik Nur Ain Ayuni yang menewaskan Nur Husna Nadhirah Khalid, 6-4.

Disiarkan pada: December 13, 2020 @ 6:56pm
d