Sukan Lain

Manshahar yakin atlet mampu pertahan pingat

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Secara keseluruhannya Kejohanan Simulasi Olahraga yang berlangsung dua hari di Majlis Sukan Negara (MSN) mencapai matlamat yang diinginkan.

Ini menandakan atlet negara dapat mengekalkan momentum dan motivasi dalam diri masing-masing selepas hampir setahun tanpa pertandingan.

Tegas ketua jurulatih olahraga, Mohd Manshahar Abdul Jalil apa yang penting adalah semangat dalam diri setiap atlet yang bersedia menghadapi cabaran biarpun bertanding sesama sendiri.

"Daripada apa yang saya lihat atlet negara berada di landasan yang baik untuk mengekalkan pingat masing-masing di Sukan SEA nanti.

"Biarpun lama tak sertai kejohanan tapi masing-masing berjaya kekalkan momentum dan antara yang menarik perhatian adalah atlet dari acara balingan, Grace Wong yang berjaya melepasi catatan terbaiknya apabila berjaya melakukan 62.61 meter," katanya.

Grace yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 itu sebelum ini turut mencuri tumpuan apabila berjaya membuat balingan sejauh 62.69m ketika sesi ujian dua minggu lalu.

Berdasarkan catatan itu, dia sebenarnya sudah berjaya memecahkan rekod kebangsaan miliknya iaitu 60.99m, bagaimanapun kedua-dua catatan itu tidak dikira sebagai rekod kebangsaan.

Sementara itu antara acara yang menjadi tumpuan pada hari kedua Kejohanan Simulasi Olahraga adalah pencapaian atlet paralimpik dalam acara lontar peluru, Ziyad Zolkefli yang meraih emas dengan balingan 16.67m menewaskan Farm Loong Deng kedua 16.39m dan Kamal Farhan A Rahman, 15.10m.

Bagaimanapun hasrat untuk atlet lompat tinggi, Lee Hup Wei beraksi tidak kesampaian apabila menarik diri kerana tiada pesaing dalam acara itu.

Disiarkan pada: December 13, 2020 @ 7:37pm
d