Sukan Lain

Futsal erat ukhwah Kawat, Kami

Kuala Terengganu: Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat) tidak berdepan masalah merakam kemenangan selepas mudah menundukkan Kelab Aktivis Media Inspirasi (Kami), 11-3 pada aksi Futsal Ukhwah Media di Gong Badak malam tadi.

Presiden Kawat, Khairul Azlam Mohamad berkata, perlawanan itu bukan sekadar untuk memburu kemenangan tetapi lebih kepada untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara pengamal media.

"Perlawanan futsal ini adalah lebih kepada untuk 'memburu' persahabatan yang lebih jitu dalam kalangan pengamal media.

"Alhamdulillah dan tahniah kepada semua pemain dan ahli kedua-dua kelab media ini. Saya harap ini bukanlah kali pertama dan terakhir untuk kita dapat bersama dalam satu program yang julung kali diadakan sebagai penutup tirai 2020.

"Ini kerana sukan bukan sahaja menjadi medan untuk kesihatan tapi satu pentas yang boleh menyatukan dari pelbagai peringkat dan kaum, dengan sukan kita boleh melupakan soal perbezaan politik.

"Sukan juga boleh menyatukan kita semua yang tiada batasan. Insya Allah, sukan ini boleh kita jadikan salah satu aktiviti tahunan pada masa akan datang dengan penyertaan yang lebih besar dan penganjuran yang lebih hebat," katanya selepas perlawanan yang turut dihadiri Pengerusi Kami, Naraza Muda.

Disiarkan pada: December 26, 2020 @ 10:48pm
d