Sukan Lain

Mahu menyinar kembali

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pemain elit boling negara, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman optimis mahu menyertai tiga kejohanan utama pada tahun ini selepas berehat panjang akibat pandemik Covid-19.

Safiyah berkata, tiga kejohanan itu membabitkan Tenpin Boling Asia, Kejohanan Indoor Asia dan Sukan Sea menjadi sasaran atlet berkenaan untuk beraksi sekali gus mampu mendapatkan kembali rentak sebelum ini.

Katanya, ketika ini dia menjalani latihan seperti biasa dan akan komited memastikan mendapatkan tempat untuk menyertai kejohanan terbabit.

"Berdasarkan rekod sebelum ini, saya optimis dapat menyertai kejohanan berkenaan namun bergantung kepada jurulatih bagi memberi lampu hijau kepada yang layak.

"Seperti sedia maklum, sebelum ini tiada sebarang kejohanan disertai malah terpaksa pula berehat panjang sekali gus mungkin agak sedikit kekok untuk hermula seperti biasa.

"Ketika ini, kem boling tiada sebarang masalah dan kami sudah menjalani ujian calitan sebelum kembali menjalani latihan," katanya, di sini.

Selain itu,Safiyah berkata, kem boling negara juga turut mengadakan pertandingan antara mereka sebelum ini bagi mengukur sejauh mana kemampuan masing-masing walaupun tanpa sebarang kejohanan kompetitif

"Ketika ini boleh saya katakan prestasi terkini adalah biasa kerana sebelum ini berehat terlalu panjang dan mungkin perlu bekerja keras bagi mendapatkan kembali rentak," katanya.

Disiarkan pada: January 9, 2021 @ 7:59pm
d