Sukan Lain

Pelumba basikal Austria dipenjara 2 tahun

Oleh AFP

Vienna: Pelumba berbasikal Austria, Stefan Denifl dikenakan hukuman penjara dua tahun kerana pembabitannya dalam skandal antarabangsa doping Aderlass yang terbongkar pada 2019.

Naib presiden pengadilan wilayah Innsbruck, Andreas Stutter mengesahkan hukuman berkenaan atas kesalahan penipuan sukan yang amat buruk.

Dia berkata, kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan mempunyai tempoh tiga hari untuk mengemukakan rayuan atas keputusan itu.

Denifl, 33, mengakui melakukan kesalahan doping ketika sesi perbicaraan di mahkamah pada Februari 2020 tetapi kemudian menafikan tuduhan kesalahan penipuan dengan memberi alasan dia sudah memenuhi kesemua tuntutan kontraknya.

Bagaimanapun, mahkamah mendapati dia melakukan penipuan terhadap pasukannya melalui penggunaan taktik doping.

Selain hukuman penjara, dia juga dikenakan denda sebanyak AS$424,000 (RM1.7 juta).

Pada 2019, Agensi Anti Doping Austria melarang Denifl daripada menyertai sebarang pertandingan selama empat tahun selepas terbabit dengan skandal Aderlass.

Mahkamah di Austria sudah pun menjatuhkan hukuman penjara kepada beberapa atlet lain yang terbabit dengan skandal Aderlass.

Antaranya bekas atlet luncur ski, Johannes Duerr yang dikenakan hukuman penjara 15 bulan kerana kes doping pada Januari 2020.

Skandal Aderlass terbongkar pada 2019 apabila atlet daripada pelbagai disiplin sukan menggunakan khidmat seorang doktor yang berpangkalan di Erfurt, Mark Schmidt untuk mendapatkan bekalan darah khas bagi tujuan meningkatkan prestasi.

Disiarkan pada: January 13, 2021 @ 10:53am
d