Sukan Lain

Jumlah atlet acara pembukaan dikurangkan

Oleh AFP

Tokyo: Penganjur Sukan Olimpik Tokyo akan mengurangkan jumlah atlet pada acara pembukaan temasya sukan terbesar dunia itu yang ditangguhkan ke tahun ini berikutan pandemik Covid-19.

Lebih 11,000 atlet dijangka akan menyertai Olimpik Tokyo tetapi tidak semua akan dapat menyertai acara pembukaan dan penutup.

Pihak penganjur berkata, mereka akan mempertimbangkan semula jumlah atlet yang akan menyertai acara pembukaan dan bagaimana untuk membawa mereka masuk ke stadium dengan selamat.

"Dalam usaha memastikan keselamatan dan kawalan terhadap atlet serta perjalanan Sukan Olimpik Tokyo, kami percaya adalah penting untuk mempertimbangkan semula jumlah yang terbabit pada acara pembukaan dan penutup serta bagaimana mereka akan memasuki stadium," kata jawatankuasa penganjur dalam satu kenyataan.

Laporan akhbar Yomiuri Shimbun dipetik berkata Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menjangkakan hanya 6,000 atlet boleh menyertai acara pembukaan pada 23 Julai tetapi tidak mendedahkan sumber maklumat itu.

Penganjur Tokyo 2020 berkata, perincian perkara itu sedang dilakukan bersama IOC serta beberapa organisasi lain dan pendekatan yang spesifik belum diputuskan lagi.

Jawatankuasa penganjur menegaskan, temasya sukan itu masih boleh diteruskan meskipun virus Covid-19 masih belum dapat dikawal sepenuhnya.

Atlet tidak boleh memasuki perkampungan sukan yang boleh membuatkan seramai 18,000 orang lebih daripada lima hari sebelum bermulanya acara masing-masing dan perlu meninggalkan tempat itu dua hari selepas acara mereka berakhir.

Disiarkan pada: January 18, 2021 @ 1:25pm
d