Sukan Lain

Peluang ke Olimpik masih terbuka

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Penundaan Kejuaraan Pelayaran Asia (ASC) tidak akan menjejaskan peluang buat tiga pelayar negara untuk memburu dua slot dalam Sukan Olimpik Tokyo pada Julai depan.

ASC yang dijadualkan berlangsung pada 14 Februari depan di Abu Dhabi selama seminggu terpaksa ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif, Persatuan Pelayaran Malaysia (MAS), Mazlan Othman menjelaskan peluang buat tiga pelayar negara, Ahmad Danish Abdul Hadi Kame, Muhammad Izuddin Abdul Rani dan pelayar wanita, Geh Cheow Lin masih belum tertutup.

"Kita masih ada harapan dalam dua slot lagi iaitu windsurfing rsx lelaki dan wanita, lagipun pesaingnya terdiri daripada pelayar Singapura, Thailand dan Filipina.

"Namun pertandingan kelayakan Olimpik yang sepatutnya diadakan di Abu Dhabi pada pertengahan Febuari ini ditangguh disebabkan pandemik kepada satu masa yang akan diberitahu kelak.

"Tapi peluang buat Danish, Izuddin dan Cheow Lin yang akan beraksi dalam acara itu masih terbuka untuk memburu tiket ke pentas Olimpik pada Julai depan walaupun kejohanan kelayakan itu adalah yang terakhir bagi Zon Asia.

"Kita akan tunggu dan lihat pengumuman daripada pihak penganjur, tapi mungkin venue perlumbaan pun bakal berubah kerana pusingan kelayakan itu perlu diselesaikan sebelum pertengahan Mac sebagai persiapan menjelang temasya Olimpik nanti," katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, beliau berkata setakat ini empat pelayar negara iaitu Nuraisyah Jamil, Juni Karimah Noor Jamali (acara international 470), Khairulnizam Mohd Affendy (laser standard), Nurshazrin Mohd Latiff (laser radial) sudah menempah tiket ke Sukan Olimpik Tokyo.

"Semua pelayar dan pihak pengurusan seramai 59 orang kini berkampung di Pusat Latihan Perahu Layar di Pulau Langkawi dengan pendekatan latihan kuarantin 'based approch' sebagaimana diumumkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), tetapi latihan mereka tetap di dalam air.

"Walaupun begitu semangat mereka sama sekali tidak terjejas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini," katanya yang meletakkan harapan tinggi dua lagi pelayar layak ke pentas Olimpik itu.

Disiarkan pada: January 22, 2021 @ 11:57pm
d