Sukan Lain

Sertai kejohanan untuk jaga standard

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Kalau hendak jaga standard perlu ke luar negara, itulah pandangan yang diberikan bekas pelumba berbasikal lebuh raya negara, Nor Effendy Rosli walaupun situasi pandemik di seluruh dunia masih belum lagi menunjukkan penurunan.

Menurutnya, sampai bila pelumba atau pasukan berbasikal profesional negara hendak 'simpan kuku' sedar tidak sedar nanti musim perlumbaan akan berlalu begitu saja sama seperti tahun lalu.

"Pada pendapat saya perlu untuk mereka ke luar negara, kalau hendak jaga standard itulah sepatutnya kita lakukan. Tidak boleh terlampau lama hanya berada dalam negara saja," katanya yang dihubungi Arena Metro.

Ujar Effendy, kalau terlampau ikut peraturan dan keadaan semasa entah sampai bila Covid-19 ini betul-betul akan berakhir.

"Saya rasa lambat lagi pandemik ini akan berakhir, mereka perlu pergi juga ke luar negara. Apa pun paling penting ialah jaga prosedur operasi standard (SOP), selain itu kita tawakal saja. Kalau tidak musim ini akan berakhir begitu saja.

"Bagi saya keputusan yang dibuat oleh Terengganu Inc Cycling Team (TSG) adalah sangat tepat. Buat apa lagi hendak simpan, sampai bila lagi harus berada dalam negara sahaja," katanya.

Beliau juga berpendapat pasukan profesional seperti TSG mempunyai penaja, jadi sudah tentu pihak berkenaan mahu nama atau logo yang terpampang di jersi dapat dipamerkan hingga ke luar negara.

"Cuma mereka perlu berhati-hati di mana saja berada. Takut jadi seperti di Terbuka Australia, seorang dijangkiti Covid-19 habis semua pelumba perlu menjalani kuarantin.

Kelmarin, TSG menyatakan mereka sudah mendapat 'lampu hijau' daripada Jabatan Imigresen Malaysia untuk 'terbang' ke Turki menyertai kejohanan di negara itu.

Pengesahan itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Che Ku Izmuddin Che Ku Mahmood yang menjelaskan kebenaran daripada Jabatan Imigresen itu diperolehi pada 20 Januari lalu.

Mengikut jadual mereka akan berlepas pada 1 Februari ini, namun ia juga bergantung kepada tiket penerbangan dan urusan lain yang berkaitan.

TSG yang akan 'berkampung' selama sebulan di Turki kini menumpukan pada enam kejohanan berstatus 1.2 bermula Grand Prix Alanya, Grand Prix Gazipasa, Grand Prix Velo Manavgat, Grand Prix Velo Alanya, Grand Prix Mediterranean dan Grand Prix Gundogmus.

Disiarkan pada: January 24, 2021 @ 8:21pm
d