Sukan Lain

Ito sasar emas walaupun tanpa penonton

Oleh AFP

Tokyo: Bintang pingpong Jepun, Mima Ito berkata, dia bersedia untuk beraksi tanpa kehadiran penonton di Olimpik Tokyo, asalkan temasya berkenaan boleh dilangsungkan.

Penganjur menangguhkan temasya itu tahun lalu akibat Covid-19, sebelum menafikan bahawa ia akan dibatalkan, sebaliknya menyatakan kemungkinan bahawa ia bakal dilangsungkan tanpa penonton.

"Saya mahu penyokong hadir tapi paling penting buat pemain adalah temasya itu dijalankan dan saya mampu turun beraksi.

"Jika itu pilihan yang ada, saya rela bermain tanpa penonton. Saya sebenarnya todak sabar untuk beraksi," kata pemain berusia 20 tahun itu yang juga salah seorang atlet Olimpik terkenal di Jepun.

Penganjur Tokyo 2020 bersedia untuk membuat keputusan mengenai jumlah kehadiran penonton yang dibenarkan bulan depan namun jika temasya itu diadakan tanpa sokongan peminat tempatan ia langsung tidak melemahkan semangat Ito.

"Saya hanya perlu pastikan sudah sedia untuk berdepan dengan apa saja keputusan bakal dibuat. Saya tidak mahu berada dalam kebingungan. Saya mahu pastikan semuanya berjalan lancar tidak kira apa yang berlaku," katanya.

Ito mula menjadi tumpuan sejak menjadi pemain paling muda dalam sukan pingpong meraih pingat di Olimpik.

Dia meraih gangsa dalam acara berpasukan wanita pada usia 15 tahun 300 hari di Olimpik Rio 2016.

Ito juga menjadi pemain Jepun pertama baik lelaki atau wanita berjaya meraih ranking nombor dua dunia tahun lalu.

Bagaimanapun, untuk memecah monopoli China di Olimpik adalah satu halangan sukar buatnya.

Pemain wanita China memenangi emas dalam acara perseorangan sejak sukan itu diperkenalkan pada 1988 namun Ito percaya dia mampu melakar kejutan di laman sendiri.

Disiarkan pada: January 27, 2021 @ 3:10pm
d