Sukan Lain

Terbuka AS wujudkan semula peringkat kelayakan

Oleh AFP

New York: Terbuka Amerika Syarikat (AS) yang akan berlangsung di Torrey Pines kembali menggunakan format kelayakan tahun ini bermula dengan 109 saingan di lapangan tempatan pada April dan Mei, jelas Persatuan Golf AS (USGA).

Disebabkan pandemik Covid-19 USGA terpaksa membatalkan saingan kelayakan tahun lalu dan mengadakan kejohanan di Winged Foot September lalu, dengan Bryson DeChambeau memenangi kejuaraan utama pertama tatkala pemain dipilih berdasarkan ranking serta beberapa kriteria lain.

Tahun ini saingan kelayakan tempatan 18 lubang akan diadakan di beberapa lapangan di AS dan Kanada bermula 26 April hingga 18 Mei.

Pemain yang mara dari saingan tempatan akan beraksi di kelayakan akhir membabitkan 36 lubang, dengan tarikh dan lapangan bakal diumumkan bulan depan.

Terbuka AS kali ke-121 dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 20 Jun di Torrey Pines, San Diego, lokasi sama bagi Terbuka Farmers Insurance Jelajah PGA yang berlangsung minnggu ini.

"Pemain profesional dan amatur seluruh dunia akan bertarung merebut tempat di Terbuka AS tahun ini," kata Pengarah Urusan Kejohanan USGA, John Bodenhamer.

Seramai 9,125 penyertaan dicatatkan untuk mencari slot ke Terbuka AS 2019 di Pebble Beach namun rekod paling tinggi ialah pada 2014 di Pinehurst membabitkan 10,127 penyertaan.

Dua tahun lalu, 17 pemain mara dari pusingan kelayakan dengan menghimpunkan 156 pemain di Pebble Beach dan empat daripada mereka berjaya melepasi cut.

Pemain yang berjaya muncul juara Terbuka AS selepas melepasi pusingan kelayakan tempatan dan kelayakan akhir ialah Ken Venturi (1964) dan Orville Moody (1969).

js/rcw

Disiarkan pada: January 28, 2021 @ 1:13pm
d