Sukan Lain

Peluang istimewa berkumpul di Melbourne - Nadal

Oleh AFP

Melbourne: Bintang tenis Sepanyol, Rafael Nadal, yang memburu kejuaraan Grand Slam kali ke-21, berkata ia satu peluang istimewa dapat beraksi di Terbuka Australia walaupun dunia masih dihimpit dengan pandemik Covid-19.

"Ia situasi yang berbeza seperti sebelum ini, lebih kepada kesedihan buat semua orang. Bagaimanapun, sekurang-kurangnya kami sudah berada di sini, kami mempunyai peluang untuk bermain di sini.

"Saya merasakan kami seperti mendapat hak istimewa, mempunyai peluang untuk melakukan pekerjaan kami," kata Nadal.

Serena Williams, yang memburu satu lagi kejuaraan Grand Salm untuk menyamai rekod Margerat Court iaitu sebanyak 24 kali, mengakui peraturan yang dikenakan terlalu ketat.

"Ia terlalu ketat, namun mereka sudah melakukan perkara ini dengan betul," kata Serena.

Ketika kebanyakan pemain terus ke Melbourne, Nadal, Serena dan beberapa lagi bintang lain termasuk Novak Djokovic dan Naomi Osaka tiba di Adelaide, di mana mereka akan bermain dalam perlawanan pertunjukan esok.

Nadal akan memulakan saingan musim ini dengan beraksi sebanyak dua set menentang pemain nombor tiga dunia, Dominic Thiem, manakala pemain nombor satu dunia, Djokovic berdepan bintang muda Itali, Jannik Sinner.

Serena pula akan menentang Naomi, manakala pemain nombor satu dunia, Ashleigh Barty berdepan Simona Halep.

Selepas itu kesemua mereka akan menuju ke Melbourne dengan Djokovic, Nadal dan Thime akan beraksi di Piala ATP bermula Selasa depan.

Ashleigh, Serena dan Naomi akan beraksi di Trofi Gippsland WTA dan Klasik Yarra Valley yang bermula Ahad ini.

Disiarkan pada: January 28, 2021 @ 3:46pm
d