Sukan Lain

Dua eagle bantu Koepka juara

Oleh AFP

Los Angeles: Juara empat kali kejuaraan utama, Brooks Koepka membenam dua eagle termasuk satu pukulan lambung di lubang ke-17 untuk muncul juara Terbuka Phoenix bagi meraih trofi Jelajah PGA Amerika Syarikat (AS) pertamanya sejak 2019.

Koepka meraih kejayaan di lapangan yang sama (TPC Scottsdale) ketika dia meraih kejuaraan pertama Jelajah PGA AS pada 2015, selepas melakukan enam di bawah par 65 bagi mengumpul keseluruhan 19 di bawah 265.

Dia menamatkan saingan dengan kelebihan satu pukulan mengatasi pemain Korea Selatan, Lee Kyoung Hoon, yang mengumpul 68 pukulan dan wakil Amerika Syarikat, Xander Schauffele.

Koepka, yang menjadi pemain nombor satu dunia selepas meraih empat kejuaraan utama pada 2017, 2018 dan 2019, bergelut dengan pelbagai gangguan musim lalu.

Ia bukan hanya disebabkan Covid-19 tapi kecederaan di bahagian lutut dan pinggul sehingga menghalangnya untuk beraksi di playoff PGA Tour dan Terbuka AS di Winged Foot September.

"Ia laluan yang berliku tahun lalu dan sangat mengecewakan. Saya berada dalam situasi di mana saya tidak tahu mampu lagi beraksi dengan baik atau kembali semula," kata Koepka.

Walaupun dia gagal bermain baik dalam dua pusingan awal, Koepka berkata, dia dapat merasakan sudah mendapat rentak permainan.

Dia berjaya memulakan dengan cemerlang pada hari terakhir dengan membenam eagle pada lubang ketiga.

Birdie pada lubang ke-13, 14 dan 15 membolehkan dia berkongsi kedudukan pendahulu.

Dia kemudiannya melonjak ke tangga teratas apabila sekali lagi melakukan eagle pada lubang ke-17 selepas melakukan pukulan lambung sejauh 30 meter.

Disiarkan pada: February 8, 2021 @ 1:17pm
d