Sukan Lain

Brazier, Shaunae cemerlang di New York

Oleh AFP

New York: Penyandang juara dunia 800 meter (m), Donavan Brazier dan pemenang pingat emas 400m Olimpik 2016, Shaunae Miller Uibo berjaya mencatat rekod kebangsaan dalam saingan Grand Prix (GP) Dalam Dewan New Balance di New York.

Brazier berjaya memecahkan rekod Amerika Syarikat (AS) miliknya 1 minit 44.21 saat (s) untuk mencatat masa terpantas tahun ini dalam acara 800m dan 0.1s mengatasi rekod lama yang dilakukan Februari tahun lalu di New York.

"Saya hanya mahu melihat tahap saya sekarang. Saya tidak mahu terlalu menekan untuk saingan dalam dewan tapi saya gembira dapat memecahkan rekod sekali lagi," katanya.

Brazier, yang mencatat masa 2.05s lebih pantas berbanding pemenang tempat kedua dari Britain, Jamie Webb berkata, dia bersedia untuk beraksi di Olimpik Tokyo.

"Saya perlu ada sasaran tersendiri daripada tidak mempunyainya langsung. Saya mahu berikan yang terbaik untuk mempertahankannya," kata Brazier.

Shaunae berjaya memecahkan rekod Bahamas dengan catatan 50.21s, mengetepikan catatan 50.34s yang dilakukan Christine Amertil pada 2006 di Moscow untuk mencatat masa terbaik tahun ini.

"Saya berasa puas. Saya sebenarnya mengharapkan larian lebih pantas sebaik memulakan perlumbaan. Saya mempunyai banyak tenaga. Ia adalah perlumbaan yang menarik," kata Shaunae.

Sebanyak 11 rekod baru kebangsaan dicatatkan di kejohanan itu yang diadakan tanpa penonton berikutan pandemik Covid-19.

Ia dipindahkan dari Boston kerana gelanggang berkenaan digunakan untuk tujuan tempat suntikan vaksin.

Disiarkan pada: February 14, 2021 @ 1:14pm
d