Sukan Lain

MSN diharap lahir lebih ramai atlet bertaraf dunia

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) diharap dapat melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia pada masa depan selepas bertapak selama 50 tahun.

Menteri Belia dan Sukan, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pencarian atlet berstatus bintang yang masih beraksi ketika ini seperti Azizulhasni Awang, Pandelela Rinong, Leong Mun Yee dan Nur Dhabitah Sabri harus diteruskan.

"Tahun dan dekad yang akan datang ini sebenarnya lebih menguji daya kesungguhan dan komitmen kita semua. Cabaran sebenar kita adalah untuk lahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia.

"Sementara kita berbangga dengan sejarah lalu, kita perlu mencipta lebih banyak cerita kejayaan dan nama-nama baru di tinta emas dalam bidang sukan.

"Perencana dan pencetus 'prime mover' kepada keseluruhan ini tentu sekali terletak di bahu MSN," katanya pada majlis pelancaran Jubli Emas MSN di platfrom Facebook dan Youtube MSN, hari ini.

Jelas Reezal, dalam mengharungi cabaran itu, MSN tidak akan bersendirian, sebaliknya akan disokong oleh kesemua pemegang taruh.

"Sudah tentu KBS (Kementerian Belia dan Sukan), ISN (Institut Sukan Negara), Majlis Olimpik Malaysia, Majli Paralimpik Malaysia, persatuan sukan kebangsaan, majlis sukan negeri dan kesemua pemegang taruh sukan termasuk rakyat akan memberi sokongan kepada MSN.

"Selaku Menteri Belia dan Sukan, di hari ulang tahun ke-50 ini, saya berikan jaminan bahawa sokongan berterusan dan dokongan teguh serta padu akan terus saya berikan untuk pastikan kejayaan jauh lebih gemilang buat MSN dalam dekad yang datang," katanya.

Disiarkan pada: February 21, 2021 @ 7:09pm
d