Sukan Lain

Stadium sulung ragbi bernilai RM17 juta

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Pembinaan Stadium Ragbi Negara di Putrajaya berjalan di landasan tepat dengan Perbadanan Putrajaya (PPj) memberi komitmen penuh dalam segenap aspek bagi merealisasikan stadium sulung sukan berkenaan.

Menurut Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya, penjelasan itu dikemukakan Presiden PPj, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain selepas mengadakan kunjungan hormat ke PPj, semalam.

"Presiden PPj akan memberi komitmen untuk membantu semua aspek bagi menyelesaikan pembinaan stadium," kata Shahrul Zaman mengenai hasil perbincangan bersama Muhammad Azmi berhubung pembinaan stadium yang sebelum ini dilaporkan bakal dibina di Presint 13, Putrajaya.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan pasukan ragbi negara bakal mempunyai stadium sendiri yang berharga RM17 juta dan bakal menjadi mercu tanda sukan berkenaan di Malaysia.

Stadium sulung ragbi negara mampu menampung kapasiti penonton sehingga 5,000 orang dalam satu masa dan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti gimnasium, pusat rawatan, ruang komersial dan padang latihan yang akan dibina secara berperingkat.

Dalam pada itu, Shahrul turut melakukan kunjungan bertemu Menteri Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad bagi membincangkan cadangan mengadakan Liga Super Varsiti - satu liga kesinambungan kepada kejohanan Super 8 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik dan Kolej Komuniti.

Ketika pertemuan itu, Shahrul turut mengemukakan cadangan pengambilan pemain atau pelajar dari negara seperti Fiji dan kepulauan yang lain untuk ditempatkan di politeknik bagi projek Ragbi Piala Dunia.

"Secara prinsipnya, KPT bersetuju untuk memberikan tempat kepada pemain atau pelajar daripada Fiji atau negara-negara kepulauan yang lain untuk mereka bermain di Malaysia dan selepas lima tahun sekiranya layak, boleh mewakili pasukan kebangsaan," kata Shahrul.

Disiarkan pada: February 23, 2021 @ 2:19pm
d