Sukan Lain

Bersyukur Woods masih hidup

Oleh AFP

Miami: Pemenang empat kejuaraan utama, Rory McIlroy berkata persoalan mengenai masa depan Tiger Woods tidak begitu penting ketika pemain berstatus bintang itu sedang bertarung untuk pulih daripada kecederaan serius di kaki selepas terbabit dengan kemalangan kereta.

"Pada peringkat ini saya rasa setiap orang seharusnya bersyukur dia masih hidup dan anak-anaknya tidak kehilangan bapa mereka," kata McIlroy kepada media.

"Itulah perkara yang paling penting. Tidak perlu memikirkan soal golf ketika ini."

McIlroy mengulangi pandangan Suruhanjaya Jejalah PGA AS, Jay Monahan yang berkata beliau akan terus memberi sokongan kepada Woods walau dalam apa cara sekali pun.

"Saya rasa satu-satunya perkara yang penting ketika ini adalah kesejahteraannya. Kami akan memberi sokongan kepada proses pemulihan dan keluarganya.

"Jika Tiger Woods mahu memperkatakan mengenai golf, barulah kita bercakap mengenainya," kata Monahan.

Dia menjawab pertanyaan adakah terlalu awal untuk memikirkan Jelajah PGA tanpa Woods yang memenangi 82 gelaran Jelajah PGA termasuk 15 kejuaraan utama.

Woods menjalani rawatan pembedahan bagi kecederaan dikaki kanan dan pergelangan kaki.

Ia termasuk dipakaikan alat sokongan seperti skru dan pin untuk menstabilkan bahagian kaki dan pergelangan kakinya.

Woods terbabit dengan kemalangan semalam selepas keretanya terbabas sebelum terbalik beberapa kali berhampiran Los Angeles dan disifatkan bernasib baik masih terselamat.

Woods tidak berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol ketika insiden awal pagi itu.

Disiarkan pada: February 25, 2021 @ 10:02am
d