Sukan Lain

Hab utama kecemerlangan sains sukan ASEAN

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Dalam tempoh beberapa tahun akan datang, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersedia untuk menyahut cabaran lebih besar apabila bersedia untuk menjadi hab utama dalam kecemerlangan sains sukan di rantau Asia Tenggara.

Harapan besar itu dizahirkan oleh Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM, Prof Madya Dr Mohad Anizu Mohd Nor apabila mengakui perancangan itu mampu dicapai hasil perancangan rapi sejak tahun lalu.

Antara inisiatif yang sedang diambil adalah dengan menjalinkan kerjasama pintar termasuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) serta memorandum perjanjian (MoA) dalam dua bidang iaitu akademik dan industri.

Katanya, menerusi bidang akademik, seramai 25 pelajar terbaik akan dihantar menyambung pengajian di 20 universiti terkemuka dunia dengan penekanan dalam pengkhususan sains sukan dan perniagaan sukan.

Malah, kolaborasi erat dengan beberapa pemain industri dari Eropah dan Amerika Syarikat juga adalah elemen terpenting buat memastikan kepakaran luar dapat di bawa sekali gus digunakan untuk kemajuan arena sukan bukan saja di Malaysia tetapi juga rantau ini.

"Bila mereka pergi sana (penghantaran pelajar ke luar negara) untuk mengikuti pengajian di peringkat PhD dan Ijazah Sarjana, kita ada peluang untuk buat MoU ataupun MoA untuk dapatkan kepakaran mereka.

"Pensyarah mereka boleh datang ke sini dan kita pula boleh menghantar pensyarah kita pergi Universiti mereka. Pelajar kita pun boleh buat program mobaliti, pergi 10 hari dan begitu juga pelajar sana.

"Fokus kita juga adalah kepada perniagaan dalam sukan dan perniagaan antarabangsa sebab benda itu sudah jadi fokus global sekarang. Kita nak buat program berkembar dengan universiti di luar negara misalnya, Ijazah Sarjana dalam bola sepak di mana satu semester di sini, dan tiga semester lagi di sana.

"Kita yakin dengan suasana, budaya, fasiliti dan kemajuan sukan di luar, kita boleh bawanya ke UiTM sekali gus kita jadi hab utama kecemerlangan sains sukan di rantau ini," katanya ketika ditemui pada majlis doa selamat bersama 11 pelajar bertuah yang akan melanjutkan pengajian di United Kingdom dan Australia, kelmarin.

Pembiayaan pengajian di peringkat tertinggi itu disokong oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam Program Hybrid Kecemerlangan Pendidikan MARA dan Fakulti Sains Sukan Dan Rekreasi.

Untuk rekod, UiTM adalah antara peneraju utama bidang sains sukan di negara ini, malah ia dibuktikan dengan pencapaian cemerlang skuad bola sepaknya iaitu UiTM FC pabila muncul pasukan universiti pertama di Malaysia yang beraksi dalam saingan liga utama, Liga Super sejak tahun lalu.

Disiarkan pada: February 26, 2021 @ 11:05pm
d