Sukan Lain

Cindy nombor satu dunia kategori Masters

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Perenang negara yang beraksi dalam dalam saingan Masters, Cindy Ong mendapat tonik terbaik untuk memulakan musim baru tahun ini apabila menduduki ranking pertama dunia dalam acara 50 meter gaya bebas.

Menerusi ranking terbaru yang dikeluarkan oleh Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA), bekas perenang kebangsaan itu yang mempunyai misi memecahkan rekod dunia dalam acara berganti-ganti itu mencatatkan masa 26.71 saat manakala perenang Russia, Irina Shlemova di ranking kedua, 26.72s.

Cindy berkata, ia satu berita yang positif dan membuatkan dia terus bersemangat memburu rekod dunia bersama-sama Vladimir Morozov - pemegang rekod dalam acara 100m gaya bebas.

"Raking ini begitu bermakna buat saya dan membuktikan bahawa perenang negara juga mampu untuk berada di ranking nombor satu dan usia bukanlah satu penghalang memecahkan rekod dunia.

"Saya tidak akan berputus asa dan akan terus berusaha mencuba selagi badan saya mampu untuk melakukannya.

"Kerana itu saya menukar latihan yang lebih spesifik sejak Mac tahun lalu dan pandemik ini bukan alasan untuk saya mengurangkan latihan. Malah saya percaya hari ini kekuatan dan kemampuan saya jauh lebih baik dari tahun sebelumnya," katanya yang menghuni ranking kedua dalam acara 100m kuak kupu-kupu 1 minit 04.31s di belakang Erika Villaecija 1:03.34s.

Terdahulu Cindy menghadiahkan lima emas dan dua perak ketika beraksi di Kejohanan Dunia Master di Gwangju 2019. Kejayaan itu berjaya menarik minat bintang renang terkemuka dari Russia, Vladimir Morozov yang mengajaknya untuk beraksi dalam acara berganti-ganti.

Disiarkan pada: February 26, 2021 @ 11:14pm
d