Sukan Lain

Woods bakal lalui kehidupan berbeza

Oleh Agensi

Los Angeles: Keluarga Tiger Woods bimbang bintang golf itu mungkin terpaksa bergantung kepada ubat tahan sakit apabila pulih daripada insiden kemalangan kereta yang mengerikan.

Sumber berkata, Woods sudah dibebani dengan pelbagai jenis pengambilan ubat dan ia akan mencetuskan masalah kepadanya pada masa depan.

Tiger, 45, mengalami kecederaan serius pada pergelangan kaki selepas terbabit dengan kemalangan di Los Angeles, Selasa lalu.

Woods dilaporkan sudah sedar dan bertindak balas selepas selamat menjalani pembedahan di bahagian bawah dan pergelangan kaki.

Pemenang 15 kejuaraan utama itu turut berdepan beberapa kecederaan termasuk retak di bahagian tibia dan fibula.

Pakar perubatan Dr John Torres berkata: "Dia mempunyai tempoh enam minggu untuk pulih pada bahagian yang patah.

"Sekiranya dia harus membetulkan semula pergelangan kaki itu, atau jika dia melakukan prosedur besar pada pergelangan kaki itu yang akan membatasi pergerakan, ia akan memakan waktu lebih lama untuk pulih.

"Dia mungkin tidak akan dapat kembali kepada kehidupan seperti dulu, yang mana ia akan menjejaskannya ketika beraksi."

Bekas pemain nombor satu dunia itu yang baru menjalani pembedahan kali kelima di bahagian belakang, mengalami kemalangan di Rancho Palos Verdes berhampiran Los Angeles dengan keretanya terbalik beberapa kali.

Disiarkan pada: February 28, 2021 @ 11:28am
d