Sukan Lain

Kecederaan Andre hampir sembuh

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Kecederaan tumit yang dialami oleh pemegang rekod lompat jauh negara, Andre Anura Anuar masih lagi terasa namun menampakkan perkembangan positif.

Bagaimanapun, Andre yang berjaya memecahkan rekod lompat jauh berusia 12 tahun milik Josbert Tinus itu masih lagi berhati-hati terutama ketika beraksi dalam acara lompat kijang.

Katanya, rasa sakit itu kini hanya tinggal 10 peratus lagi dengan latihan berjalan seperti biasa.

Begitupun atlet kelahiran Sabah berusia 21 tahun itu masih lagi mengambil pendekatan berhati-hati bagi memastikan kecederaan itu pulih sepenuhnya seterusnya dapat beraksi di Grand Prix Malaysia yang dijadualkan berlangsung sama ada Mac atau April ini.

"Untuk beraksi dalam acara lompat jauh sekarang memang tak ada masalah tapi sukar sikit kalau fokus kepada lompat kijang kerana ia banyak memberi hentakan pada tumit kaki itu.

"Selalunya jika saya alami kecederaan tumit ini saya akan melakukan rawatan akupuntur tapi disebabkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) atlet tidak dibenarkan keluar daripada MSN (Majlis Sukan Negara) jadi proses pemulihan itu mengambil sedikit masa," katanya.

Pemenang pingat perak Sukan SEA Vietnam itu mengalami kecederaan ketika beraksi di kejohanan simulasi di MSN hujung tahun lalu.

Pada kejohanan itu dia melakukan lompatan 7.68 meter, lompatan terbaik tahun tahun lalu.

Andre antara atlet yang dilihat mempunyai potensi untuk layak ke Olimpik bagaimanapun dia perlu melepasi lompatan 8.22m yang mana rekod terbaiknya iaitu rekod kebangsaan adalah 8.02m.

Disiarkan pada: February 28, 2021 @ 9:07pm
d