Sukan Lain

Tok Mat kemuka bukti penipuan

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Selepas mendakwa berlaku penyelewengan ketika pengundian Kongres Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) yang boleh dipertikaikan, Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail tampil dengan beberapa bukti.

Ahmad dalam satu kenyataan berkata, badan induk sukan itu melakukan beberapa perkara yang menyalahi pelembangaan Astaf seterusnya menyaksikan Presiden Astaf, Datuk Abdul Halim Kader menang menerusi keputusan 30-0.

Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden Astaf berkata, Abdul Halim didapati melanggar Artikel 8 kongres itu sekali gus menimbulkan keraguan bagi pemilihan jawatan presiden.

"Dalam kongres itu ada 25 negara gabungan Astaf yang boleh mengundi dan tambahan enam daripada Jawatankuasa Eksekutif berdasarkan artikel 10. Jumlah itu kemudian berkurangan kepada 29 selepas China dan Brunei tidak menyertai persidangan itu.

"Filipina dan Vietnam juga tak menghantar proksi mereka untuk mengundi. Jadi jumlah keseluruhan 27 undi. Tapi pengerusi umumkan terdapat 11 undi daripada Jawatankuasa Eksekutif, jadi mereka dah melanggar perlembagaan kongres.

"Saya juga dimaklumkan tiga negara gabungan Astaf, Singapura, Indonesia dan Malaysia tidak menghantar 'Proxy Voting-Form', maka dengan ini undi yang tinggal hanyalah 24 undi sahaja.

"Terdapat lapan lagi negara yang hilang hak mengundi sebab mereka tidak jelaskan yuran keahlian. Jadi bila ditolak semua maka yang boleh mengundi adalah 16. Mana datang sampai 30 undi itu," katanya yang mesra disapa Tok Mat.

Atas sebab itu juga, Ahmad menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang dengan membawa perkara itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan.

Disiarkan pada: March 4, 2021 @ 11:25pm
d