Sukan Lain

Harrif keempat GP Mediterranean di Turki

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Hasrat jaguh berbasikal negara, Harrif Saleh untuk mengungguli Grand Prix (GP) Mediterranean di Turki yang berlangsung semalam tidak kesampaian apabila dia menamatkan saingan di kedudukan keempat.

Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu sudah berusaha sedaya upaya untuk bersaing dengan kelompok hadapan namun usahanya itu masih tidak cukup untuk melepasi garisan penamat selaku pemenang.

Namun Harrif tetap berpuas hati dengan pencapaian itu kerana masih dapat mengutip 20 mata Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

"Alhamdulillah, masih dapat 20 mata. Terima kasih kepada rakan sepasukannya yang sentiasa bekerja keras sepanjang perlumbaan.

"Hari ini (semalam) angin agak kuat sepanjang pergi dan balik. Apapun saya tetap berpuas hati kerana dapat tamatkan perlumbaan di kedudukan empat terbaik dan tidak berdepan sebarang masalah semasa perlumbaan," katanya.

Perlumbaan itu dimenangi oleh pelumba tuan rumah, Onur Balkan yang beraksi bersama pasukan Salcano Sakarya BB.

Dua lagi pelumba TSG, Irwandie Lakasek serta Wan Abdul Rahman Hamdan turut cemerlang apabila masing-masing menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam dan kelapan.

Bulan lalu Harrif mempamer kayuhan memukau apabila memenangi GP Manavgat sekali gus melakar sejarah selaku pelumba pertama negara memenangi perlumbaan di Eropah.Ia diikuti kejayaan rakan sepasukan, Carlos Quintero yang memenangi saingan sejauh 106 kilometer (km) yang menawarkan cabaran pendakian pada GP Velo Alanya.

Dua kemenangan pada bulan lalu itu menyaksikan TSG seolah-olah tidak terganggu dengan kesan pandemik Covid-19 yang menyebabkan tiada kejohanan antarabangsa dianjurkan selama setahun.

Disiarkan pada: March 7, 2021 @ 8:10pm
d