Sukan Lain

Astaf beri peluang kepada Husni merayu

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Gara-gara menyerang pengadil perlawanan, Pengurus Pasukan Sepaktakraw Wanita Malaysia, Wan Mohd Husni Abdullah terpaksa melupakan sementara pembabitan dalam sukan berkenaan apabila beliau dikenakan hukuman penggantungan lima tahun oleh Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf).

Hal ini bermakna, Husni boleh dikatakan mencipta sejarah apabila menjadi individu pertama daripada Malaysia dikenakan hukuman terbabit berdasarkan kepada kesalahan menyerang pengadil perlawanan.

Pada masa sama, keputusan berkenaan berkuatkuasa Disember 2019 menyaksikan Husni tidak boleh terbabit secara langsung termasuk menjadi tenaga pengajar atau jurulatih dan memegang apa juga jawatan dalam sukan sepak takraw.

Menurut Presiden Astaf, Datuk Abdul Halim Kader keputusan itu perlu dilaksanakan memandangkan kesalahan yang dilakukan Husni cukup berat hingga mengancam keselamatan pengadil.

Beliau berkata, ahli jawatan kuasa yang dipengerusikan Setiausaha Agung Astaf Boonchai Lorhpipat sebulat suara bersetuju dengan hukuman itu sebagai pengajaran kepada semua pihak supaya tidak bertindak luar batasan dengan menyerang pengadil.

"Mengikut aduan yang diterima, Husni menyerang pengadil tuan rumah Roy Berja Fabay ketika perlawanan akhir sepaktakraw Sukan Sea Manila 2019.

"Ketika itu , perlawanan antara beregu lelaki Malaysia menentang Thailand baharu saja selesai dan beliau terus menyerang pengadil.

"Kami sudah mengumpul bukti termasuk melihat kembali rakaman video dan jelas menunjukkan Husni menyerang pengadil perlawanan," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Selain itu, beliau berkata, Husni yang juga Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Sembilan boleh membuat rayuan dalam tempoh 14 hari untuk pertimbangan sewajarnya.

"Hukuman yang dikenakan terhadap Husni tidak dipengaruhi perkara tertentu namun itu adalah tanggungjawab Astaf apabila melihat terdapat kesalahan dilakukan oleh individu berkenaan.

"Surat berkaitan hukuman terbabit juga sudah diserahkan kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk tindakan susulan dan berharap Husni melepaskan semua jawatannya dalam sukan sepak takraw," katanya.

Disiarkan pada: March 20, 2021 @ 9:50pm
d