Sukan Lain

Misi pertahan gelaran

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Sukar buat penyandang pingat emas Sukan Sea Filipina dalam acara 100 meter, Muhammad Haiqal Hanafi untuk mengulas mengenai peluangnya mempertahankan pingat itu.

Dengan keadaan latihan, kecederaan, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan prestasinya tidak menentu.

Namun buat pelari kelahiran Negeri Sembilan itu, dia amat berharap dapat mempertahankan emas yang dimenanginya dua tahun lalu apabila beraksi di temasya Sukan Sea Vietnam nanti.

Antara sebab itulah, Haiqal, 22, berharap dapat segera kembali di bawah bimbingan jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim.

"Saya amat berharap Poad dapat bantu saya berlatih seperti dulu. Saya tak mempunyai banyak masa lagi sebab Sukan Sea sudah dekat.

"Jadi saya buat keputusan untuk kembali kepada Poad kerana beliau boleh bantu dengan cepat proses latihan itu," katanya.

Pemenang acara 100m Sukan Sea dengan catatan 10.35 saat itu, dia kini dalam proses untuk mendapatkan semula rentak lariannya selepas pulih daripada kecederaan pergelangan kaki.

Justeru dia berharap keputusannya untuk pulang kepada Poad tidak menjadi isu sesetengah pihak demi masa depan kariernya.

"Saya tak mahu cakap banyak. Tunggu dan lihat. Saya dah cuba beralih angin di bawah (Dwayne) Miller tapi Miller lebih pakar dalam acara 400m dan bukannya 100m.

"Setiap keputusan yang saya buat ini adalah untuk masa depan saya," katanya yang tidak mahu keputusannya untuk kembali kepada Poad menjadi isu besar.

Dua tahun lalu, Haiqal meneruskan penguasaan pelari negara dalam acara riben biru apabila meraih emas menewaskan dua pelari Thailand, Ruttanapon Sowan (10.49s), Bandit Chuangchai (10.52s).

Disiarkan pada: April 15, 2021 @ 9:42pm
d