Sukan Lain

'Tak kisah berlatih ketika berpuasa'

Kuala Lumpur: Ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi lebih selesa berlatih pada waktu siang sepanjang bulan Ramadan sebagai persiapan ke Sukan Olimpik Tokyo Julai ini.

Farah berkata, tiada masalah bagi dirinya meneruskan latihan seperti biasa kerana dalam sukan gimnastik adalah sukar untuk berlatih pada sebelah malam ketika dalam keadaan perut kekenyangan.

"Tahun sebelum ini saya berlatih seperti biasa. Tiada masalah bila saya berlatih dan berpuasa pada masa sama.

"Sesi latihan akan sentiasa dipantau dan jika ia memudaratkan diri, saya akan kurangkan latihan," katanya.

Bagi Farah, Ramadan bulan istimewa buatnya kerana dapat berkumpul bersama keluarga, makan serta masak bersama-sama.

Katanya, dia juga mengambil masa lebih untuk panjatkan doa ke hadrat Ilahi semoga apa yang dihajati dapat dimakbulkan Allah SWT.

"Tahun ini adalah tahun yang penting bagi diri saya. Saya tidak mahu terlepas untuk berdoa agar dipermudahkan segala urusan apabila beraksi di temasya Olimpik Tokyo.

"Ramadan juga adalah bulan untuk kita muhasabah dan memperbaiki segala kekurangan diri," katanya.

Disiarkan pada: April 23, 2021 @ 7:05am
d