Sukan Lain

Senarai atlet ke Tokyo diketahui awal Julai

Oleh BERNAMA

Melaka: Senarai akhir bagi kontinjen negara ke temasya Tokyo 2020 dijangka diketahui awal Julai berikutan pusingan kelayakan bagi beberapa acara sukan membabitkan atlet Malaysia masih berlangsung hingga Jun.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata proses kelayakan bagi Olimpik dan Paralimpik masih berterusan susulan banyak kejohanan di peringkat antarabangsa tertangguh disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

Beliau berkata proses kelayakan itu juga bergantung kepada persatuan-persatuan sukan antarabangsa disebabkan mereka bergelut untuk menjalankan pertandingan termasuk ada yang terpaksa membatalkan kejohanan dan mengambil kira markah lama yang menyebabkan ada atlet negara terlepas peluang untuk beraksi di Olimpik.

"Seperti sukan badminton, masih menunggu dua kejohanan akhir ialah Terbuka Malaysia dan Terbuka Singapura manakala bagi acara terjun, beberapa atlet kita telah berlepas ke Tokyo, Jepun untuk proses kelayakan terakhir ke Olimpik," katanya ketika ditemui pemberita di Seri Negeri hari ini.

Terdahulu, beliau mengiringi Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali menyempurnakan pelepasan Jelajah Sokongan Kontinjen Road To Tokyo 2020

Ahmad Shapawi berkata sasaran awal seramai 33 atlet lagi akan layak ke temasya Olimpik dan Paralimpik sehingga tamat proses kelayakan akhir namun beberapa sukan telah terlepas menempah slot antaranya daripada acara menembak dan lawan pedang.

Mengulas lanjut, beliau berkata kontinjen negara juga bersedia sekiranya pasukan hoki lelaki di bawah kendalian ketua jurulatih Arul Selvaraj dipanggil pada saat akhir untuk menggantikan negara lain yang menarik diri.

"Pasukan hoki kita merupakan pasukan simpanan utama dan terdapat ura-ura mengatakan Afrika Selatan bakal menarik diri disebabkan ada kekangan namun, kita hanya menunggu sehingga ada pengesahan sama ada mereka benar-benar tidak akan menghantar wakil ke temasya itu.

"Pasukan ini telah menjalani latihan pusat sejak Jun tahun lepas untuk persediaan menghadapi kejohanan antarabangsa termasuk perlawanan persahabatan dengan Great Britain dan Jepun yang beraksi di Olimpik, jika kita layak, kita bersedia untuk ke sana," katanya.

Setakat ini, seramai 12 atlet negara berjaya menempatkan diri dalam beberapa acara antaranya berbasikal, gimnastik artistik, memanah, pelayaran dan terjun manakala 14 atlet paralimpik layak dalam tujuh disiplin sukan iaitu olahraga, angkat berat, badminton, berbasikal, memanah, boccia dan renang.

Disiarkan pada: April 27, 2021 @ 8:04pm
d