Sukan Lain

Jun Hoong layak ke Olimpik Tokyo

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Penerjun negara Cheong Jun Hoong membuktikan terjunannya masih berbisa apabila muncul atlet negara seterusnya layak ke temasya Olimpik Tokyo.

Penerjun berusia 31 itu menguasai pusingan kelayakan acara 10 meter platform di Kejohanan Terjun Piala Dunia di Jepun selepas mengumpul 345.30 mata.

Tempat kedua milik penerjun Russia, Luliia Timoshinina, 336.70 mata dan Gabriela Agundez Garcia dari Mexico ketiga, 325.65 mata.

Kejayaan itu menyaksikan Jun Hoong layak beraksi di separuh akhir acara berkenaan yang akan berlangsung esok pada jam 4 petang waktu tempatan.

Sementara itu, seorang lagi wakil negara Pandelela menamatkan saingan pusingan kelayakan di kedudukan keempat apabila mengumpul 325 mata.

Bagaimanapun, Pandelela sudahpun mengesahkan tempat ke Tokyo dalam acara itu dan 10m terjun seirama bersama Leong Mun Yee.

Disiarkan pada: May 4, 2021 @ 12:15pm
d