Sukan Lain

PKBM tunggu lampu hijau

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) perlu menunggu lampu hijau daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum dapat menganjurkan Kejohanan Berbasikal Kebangsaan.

Kejohanan itu akan menjadi medan pemilihan skuad berbasikal negara ke temasya Sukan Sea Hanoi hujung tahun ini yang mana ia menjadi syarat utama oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam pemilihan atlet ke temasya dwitahunan itu.

Presidennya, Datuk Abu Samah Wahab berkata, sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilanjutkan, ia bermakna PKBM perlu mencari jalan lain untuk memilih atlet ke temasya Sukan Sea.

"Sekarang ini kami sedang tunggu adakah PKP akan diteruskan atau ditamatkan. "Jika ia diteruskan bermakna PKBM perlu mencari jalan lain bagaimana untuk memilih senarai atlet ke Sukan Sea nanti.

"Buat masa ini belum ada senarai rasmi atlet namun senarai panjang sudah diserahkan kepada MOM manakala senarai pendek atlet akan diumumkan sebelum tarikh tutup penyertaan sekitar Ogos ini," katanya.

Abu Samah menjelaskan mengikut syarat yang ditetapkan oleh MOM, PKBM perlu menjemput semua pelumba negara termasuk daripada pasukan benua untuk mengambil bahagian dan menilai siapakah pelumba paling layak mewakili negara.

Ini kerana pendekatan PKBM yang ingin menyenaraikan barisan skuad senior ke Hanoi berbanding pasukan campuran seperti diinginkan oleh MOM sebelum ini.

Terdahulu PKBM merancang menghantar gabungan pelumba Terengganu Cycling Team dan Team Sapura Cycling untuk mencabar Sukan Sea Vietnam, November ini.

Disiarkan pada: May 18, 2021 @ 11:26pm
d