Sukan Lain

Nouran sekat hajat Sivasangari

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemain skuasy negara, S Sivasangari mempamerkan aksi cemerlang ketika menentang pemain nombor dua dunia, Nouran Gohar dalam perlawanan Terbuka Skuasy Antarabangsa El Gouna 2021, namun belum cukup untuk mengatasi pemain ranking terbaik dunia dari Mesir yang beraksi di laman sendiri.

Sivasangari yang menduduki ranking ke-36 dunia, tewas dengan keputusan 3-0 (9-11, 10-12, 7-11) berdepan bekas pemain nombor satu dunia itu, dalam pusingan ketiga yang berlangsung selama 41 minit, pagi ini.

Dalam perlawanan peringkat suku akhir pada Selasa, Gohar akan berdepan rakan senegara yang juga pemain nombor 14 dunia, Rowan Elra, yang mengejutkan pemain nombor lapan dunia Joelle King dari New Zealand dengan kemenangan 11-6, 12-10, 11-8, menurut laman web Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) di www.psaworldtour.com.

"Pada set pertama dan kedua perlawanan, saya mendahului beberapa mata. Saya berasa cukup yakin ketika berada di gelanggang. Namun, Ketika saat-saat penting, saya hilang tumpuan dan melakukan beberapa kesilapan. Namun secara keseluruhan, saya bermain dengan baik dalam kejohanan ini.

"Jelas sekali, Gohar layak digelar pemain nombor dua dunia dan saya sudah melakukan yang terbaik dan berusaha sedaya upaya dan rasanya saya telah melakukan yang terbaik. Saya gembira dengan cara saya mara, mudah-mudahan saya akan kembali bersemangat dan bertenaga," kata Sivasangari sebagaimana dipetik oleh PSA Tour.

Sementara itu, Gohar, 23, memuji prestasi Sivasangari dan perkembangan mereka yang bermula sejak dari peringkat junior hingga peringkat senior.

"Siva pemain yang mempunyai potensi, beliau sudah berada dalam gelanggang, beliau adalah pesaing yang perlu diperhatikan. Kami tidak bertemu sejak kejohanan skuasy remaja dunia iaitu kira-kira empat atau lima tahun lepas dan kini saya berasa sangat tua!.

"Prestasi kami telah berkembang dan pertandingan kali ini, sangat berbeza berbanding kali terakhir kita bertemu. Saya gembira kerana berjaya mengutip beberapa mata akhir untuk menang dalam tiga set," kata Gohar.

Sivasangari, pemain berusia 22 tahun yang kini berpangkalan di Amerika Syarikat sudah mengalahkan pemain ranking ke-10 dunia Tesni Evans dari Wales pada Sabtu lalu, dengan keputusan 11-4, 5-11, 4-11, 11-5, 11-6 untuk mara ke pusingan ketiga.

Kekalahan anak kelahiran Kedah itu, sekali gus mengakhiri kempen Malaysia dalam kejohanan kali ini apabila Ng Eain Yow tersingkir dari pusingan kedua selepas kalah 5-11, 7-11, 7-11 kepada seorang lagi pemain Mesir, Youseff Ibrahim dalam acara perseorangan lelaki, Sabtu lalu.

Disiarkan pada: May 24, 2021 @ 12:14pm
d