Sukan Lain

Zarif cuba penuhi impian arwah Haziq

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Kehilangan Allahyarham Haziq Kamaruddin dalam kem memanah negara masih lagi terasa hingga kini namun perjuangan tetap perlu diteruskan demi memenuhi impian arwah memastikan Malaysia layak dalam acara berpasukan ke temasya Olimpik Tokyo.

Tempat arwah kini akan digalas oleh Muhamad Zarif Syahiir Zolkepeli dan atlet muda negara itu mengakui tugas berat yang digalasnya.

"Seluruh kem terasa akan kehilangan arwah. Dia bukan saja seorang rakan, sahabat tapi juga seorang abang buat saya. Arwahlah tempat saya mengadu, bertanya soalan dan ketika saya dalam keadaan tertekan seperti ini, arwahlah orangnya yang akan membuatkan tekanan saya itu reda. Seorang abang yang akan membantu adiknya ketika berdepan masalah.

"Karakter arwah yang periang, sering bergurau dan banyak membantu kawan-kawan membuatkan kehilangannya cukup dirasai. Setiap kali kami datang latihan, arwah pasti akan bertanya macam mana latihan hari ini, okey atau tidak. Dialah orang yang akan berkongsi dan memberi tunjuk ajar.

"Kini hanya tinggal Khairul Anuar (Mohamad), atlet senior tempat kami berkongsi masalah. Apa yang pasti perjuangan perlu diteruskan," katanya.

Zarif kini akan mengisi kekosongan Allahyarham Haziq bagi mengharungi kelayakan Sukan Olimpik 2020 Tokyo, bulan depan.

Perkara itu diumumkan Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Datuk Abdul Hamid Hasan keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan bersama jurulatih kebangsaan, Lee Jae-Hyung dan Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil baru-baru ini.

Zarif mengakui dia masih belum bersedia sepenuhnya namun berharap ilmu yang diturunkan oleh arwah akan membantunya merealisasikan impian untuk ke Olimpik.

"Saya akan galas tugas itu dan anggap ia adalah cabaran dalam hidup saya. Itulah hasrat arwah. Dia pernah cakap dekat saya bahawa dia nak layak ke Olimpik dan jika berjaya Olimpik Tokyo adalah yang terakhir sebelum bersara," katanya.

Skuad memanah negara akan berangkat ke Korea pada 4 Jun ini untuk menjalani latihan dan pertandingan sebelum berlepas ke Paris untuk menyertai kelayakan Olimpik terakhir pada 18 hingga 20 Jun sebelum beraksi di Piala Dunia Peringkat Ketiga di Paris pada 22 hingga 28 Jun.

Disiarkan pada: May 29, 2021 @ 6:20pm
d