Sukan Lain

Mun Yee selesa berlatih di MSN

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Tiada masalah buat penerjun negara Leong Mun Yee untuk terus kekal di Majlis Sukan Negara (MSN) yang menggunakan pendekatan program latihan berpusat secara kuarantin.

Itu adalah lebih baik daripada mengelakkan barisan atlet negara berdepan dengan risiko penularan Covid-19.

Mun Yee yang akan beraksi dalam acara 10 meter (m) seirama bergandingan bersama Pandelela Rinong di Olimpik Tokyo nanti berkata, untuk keselamatan dia tidak mempunyai masalah untuk terus kekal di MSN kerana ia lebih memudahkannya menjalani latihan.

"Sekarang ini tiada lagi pertandingan dan kami hanya menunggu untuk beraksi di Olimpik. Jadi keselamatan perlu diutamakan dan sistem latihan berpusat secara kuarantin itu bagi saya memang tidak menjadi masalah.

"Tambahan pula selepas tamatnya Piala Dunia di Jepun dan kami perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di hotel, sekarang adalah masanya untuk saya tingkatkan balik tahap kecergasan dan mencari keserasian dalam acara seirama," katanya.

Barisan penerjun negara kembali memanaskan kolam negara Isnin lalu selepas tempoh kuarantin wajib ke atas mereka yang pulang daripada menyertai Piala Dunia di Jepun tamat.

Dalam aksi di Pusat Akuatik Jepun itu Mun Yee dan Pandelela Rinong menamatkan saingan dalam acara 10m seirama di kedudukan keempat.

Malaysia bagaimanapun berjaya meraih satu emas menerusi Pandelela dalam acara 10m platform individu manakala Cheong Jun Hoong berjaya menempah satu lagi slot ke temasya Olimpik dalam acara yang sama.

Pingat yang dimenangi penerjun kelahiran Sarawak itu juga adalah yang pertama dimenangi skuad terjun negara di kejohanan itu.

Disiarkan pada: May 30, 2021 @ 8:50pm
d