Sukan Lain

Kisah Nicol David difilemkan

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Legenda skuasy negara, Datuk Nicol David mendapat pengiktirafan apabila perjalanan kariernya sebelum ini akan difilemkan dalam satu biopik bertajuk 'I am Nicol David'.

Juara dunia lapan kali itu yang sudah bersara, mengumumkan perkara berkenaan dalam status terbaharunya di Facebook.

"Saya sangat gembira dan terharu untuk mengumumkan bahawa kami akan menghasilkan filem biopik saya.

"Saya selalu mengimpikan satu hari nanti dapat menceritakan kisah saya dan mampu memberi inspirasi kepada setiap orang untuk bekerja keras dalam mencapai apa yang mereka mahukan dan sentiasa mencabar diri sendiri untuk mencapai kejayaan lebih besar.

"Saya sungguh bertuah berpeluang bekerjasama dengan Ace Pictures yang berkongsi perasaan ini dan saya tidak sabar untuk memulakannya.

"Ia akan menjadi satu perjalanan yang panjang dan saya berhadap mendapat sokongan daripada anda," kata bintang berusia 37 tahun itu.

Atlet kelahiran Pulau Pinang itu muncul antara atlet paling berjaya negara apabila memegang rekod menduduki ranking pertama dunia selama 108 bulan.

Sepanjang kariernya selama 20 tahun, Nicol memenangi 81 gelaran juara Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) selain memenangi tujuh pingat emas di Sukan Asia.

Nicol juga dinobatkan selaku Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia, Februari lalu.

Disiarkan pada: June 8, 2021 @ 7:11pm
d