Sukan Lain

MOM nafi disekat sertai Olimpik

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan mendapatkan penjelasan daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (OIC) dan kerajaan Jepun berhubung laporan atlet dari 10 negara termasuk Malaysia, tidak dibenarkan menyertai Olimpik Tokyo.

Presidennya Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata MOM akan mendapatkan pengesahan bertulis bagi menamatkan spekulasi pada ketika temasya itu hanya berbaki sebulan lagi sebelum dilangsungkan dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

"Laporan itu tidak benar. Notis yang diberikan hanya berkaitan peraturan imigresen bagi pelawat awam dari beberapa negara termasuk Malaysia. Bagaimanapun, kami menghantar e-mel kepada IOC dan Jepun untuk mendapatkan kepastian agar kami dapat tamatkan spekulasi," katanya.

Mohamad Norza juga mengesahkan MOM yang sentiasa berhubung dengan Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo, tidak menerima sebarang maklumat mengenai perkara itu.

Sebuah akhbar harian hari ini melaporkan kerajaan Jepun telah mengeluarkan satu pekeliling kepada jawatankuasa penganjur temasya berkenaan agar "tidak membenarkan kemasukan" 10 negara yang sedang mengalami lonjakan kes Covid-19.

Menurut laporan itu lagi, jika jawatankuasa tersebut tidak dapat menyekat kemasukan atlet, langkah-langkah lebih ketat akan dikenakan termasuk dikuarantin selama 14 hari.

Selain Malaysia, negara-negara berkemungkinan lain yang dinamakan dalam laporan itu ialah India, Pakistan, Nepal, Bangladesh, Maldives, Sri Lanka, Afghanistan, Vietnam dan United Kingdom.

Setakat 5 petang tadi, Kedutaan Jepun di Malaysia masih belum memberi maklum balas terhadap pertanyaan Bernama berhubung isu itu.

Disiarkan pada: June 8, 2021 @ 9:15pm
d