Sukan Lain

Jijoe mahu cetus inspirasi

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang enggan ambil pusing terhadap mereka yang mungkin meragui kemampuan dirinya di pentas Olimpik Tokyo.

Bakal melakukan penampilan kali keempat di temasya sukan terbesar dunia itu pada usia 33 tahun, Azizulhasni atau Jijoe hanya mahu memastikan penampilan kali ini lebih bermakna berbanding sebelumnya.

Pelumba yang mendapat gelaran The Pocket Rocketman itu kini sudah kembali ke negara ini bersama-sama Muhammad Shah Firdaus Sahrom untuk meneruskan sesi latihan bersama jurulatih, John Beasley sebelum berangkat ke Tokyo.

"Dengan hati yang berat, saya meninggalkan bumi Melbourne. Menuju ke tempat di mana semuanya bermula. Persiapan terakhir ke kejohanan yang penuh dengan liku-likunya, penuh dengan dugaan dan penuh dengan persoalannya.

"Walaupun ada yang kata sudah di mamah usia, tapi itu kejahilan belaka. Penampilan ini adalah penampilan yang keempat, akan dipastikan harapan yang diberikan akan dicapai tepat.

"Misi Olimpik bukan kejar pingat semata-mata, tetapi nak berikan juga inspirasi kepada rakyat jelata," katanya menerusi status terbaharu di Facebook miliknya.

Azizul juga berharap semua pihak dapat memahami erti pengorbanan seperti yang dilakukan olehnya dengan terbaru meninggalkan isteri dan anak-anaknya di Melbourne.

"Saya harap nukilan ini dapat mengajak anda semua berfikir dan mengenal erti sebuah pengorbanan yang mana ia tidak lekang daripada kehidupan seharian kita semua.

"Pada kebanyakan waktunya amat mudah kita tuturkan perkataan pengorbanan itu. Akan tetapi, adakah mudah untuk kita melakukannya? Yang pasti, saya akan merindui karenah anak isteri yang kini tiada di sisi," katanya.

Untuk rekod, Azizulhasni memenangi pingat gangsa pada temasya Sukan Olimpik Rio 2016.

Disiarkan pada: June 8, 2021 @ 11:00pm
d