Sukan Lain

Lapan negara tak setuju Sukan Sea ditunda

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Acara sukan terlalu padat dan kekurangan masa untuk membuat persediaan menyebabkan lapan negara peserta membantah penangguhan Sukan Sea Vietnam 2021 ke tahun depan.

Berdasarkan mesyuarat Persekutuan Sukan Sea (SEAGF) hari ini menyaksikan lapan daripada 11 negara menyatakan pendirian mahukan kejohanan itu tetap berlangsung hujung tahun ini.

Antara alasan dikemukakan adalah mereka sudah melakukan persiapan untuk mengharungi kejohanan dwi tahunan terbabit.

"Oleh kerana bilangan kes Covid-19 yang semakin meningkat di rantau ini, adalah menjadi keutamaan Jawatankuasa Penganjur Vietnam untuk memastikan Sukan Sea edisi ke-31 berlangsung dalam suasana lebih selamat.

"SEAGF akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Penganjur Vietnam untuk mendapatkan penyelesaian terbaik seterusnya dibentangkan kelak," menurut kenyataan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Terdahulu, Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria tidak setuju dengan cadangan untuk menangguhkan Sukan Sea ke-31 ke tahun hadapan.

Mohamad Norza berkata, dengan sukan-sukan utama seperti Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing dari 4 hingga 20 Februari, Sukan Komanwel Birmingham (28 Julai-8 Ogos) dan Sukan Asia Hangzhou (10-25 September), adalah sukar menyediakan atlet untuk satu lagi edisi sukan dalam satu kalendar tahunan yang telah pun padat.

Selain itu, atlet Malaysia juga akan menyertai Sukan Solidariti Islam ke-5 yang dijadualkan pada Ogos di Konya, Turki dan Sukan Asia Dalam Dewan dan Seni Tempur Bangkok-Chonburi pada 10-20 Mac, 2022.

Sebelum ini, menurut laporan sebuah portal berita di Vietnam, Vietnam Net, Sukan Sea yang dijadualkan berlangsung dari 21 November hingga 2 Disember di Hanoi, berkemungkinan ditangguhkan ke Mac atau Jun tahun hadapan di sebabkan peningkatan kes Covid-19 di Vietnam dan negara-negara Asia Tenggara lain.

Disiarkan pada: June 9, 2021 @ 8:43pm
d