Sukan Lain

Prestasi Hup Wei di Kazakhstan jadi ukuran

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Prestasi luar biasa atlet lompat tinggi negara Lee Hup Wei di kejohanan Olahraga Kosanov Memorial di Almaty, Kazakhstan pada 19 dan 20 Jun ini boleh dikatakan sebagai penentuan sama ada layak ke Olimpik Tokyo atau sebaliknya.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk SM Muthu berkata, Hup Wei yang juga juara Asia 2007 dan pemenang pingat emas Sukan Sea ketika ini berada di kedudukan ke 26 namun masih lagi tidak mampu melepasi catatan kelayakan iaitu 2.33 meter.

Beliau berkata, setakat ini, atlet daripada 16 negara sudah melepasi rekod berkenaan sekali gus mengharapkan Hup Wei mampu mencipta kejutan dengan melakukan lompatan lebih 2.3 meter ketika beraksi di Kazakhstan.

"Kita masih mengharapkan Hup Wei mampu mencipta kejutan pada kejohanan terbabit sekali gus menempah tiket untuk beraksi di Olimpik Tokyo.

"Tempoh penilaian kelayakan ke Olimpik akan berakhir hujung bulan ini dengan Hup Wei dilihat berpotensi melakukan kejutan berdasarkan prestasi semasanya.

"Seorang lagi atlet lompat tinggi negara Nauraj Singh Randhawa pula berada di kedudukan 49 secara keseluruhan setakat ini," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Mengikut rekod, Hup Wei memiliki lompatan terbaik peribadi dengan catatan 2.29 meter yang dilakukan di Kejohanan Dunia 2019 untuk muncul atlet olahraga Malaysia yang pertama mara ke pusingan akhir sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1976.

Jika Hup Wei gagal layak secara merit, atlet berkenaan masih berpeluang beraksi menerusi tiket 'wildcard'.

Tiket 'wildcard' bagi Olimpik diberikan dalam beberapa sukan sekiranya tiada mana-mana atlet dari sesuatu negara layak secara merit ke temasya terbesar dunia itu bagi memenuhi kriteria penyertaan universal.

Disiarkan pada: June 17, 2021 @ 8:38pm
d