Sukan Lain

Jaguh pecut negara hilang sabar

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: "Apakan daya, kami ini hanya mentimun yang sering dipijak oleh mereka yang lebih berkuasa," itu luahan hati pelari pecut negara Khairul Hafiz Jantan yang berang dengan tindakan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) apabila langsung tidak mempedulikan kebajikan atlet.

Tambah memeritkan presidennya, Datuk SM Muthu memberi kenyataan dengan sesuka hati hingga memberi kesan emosi kepada persediaannya menghadapi temasya Sukan Sea Vietnam hujung tahun ini.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Muthu baru-baru ini yang mengatakan bahawa dia dan juga rakan sepelatih, Haiqal Hanafi positif Covid-19 selain kelalaiannya menyemak emel itu adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab.

"Sampai sekarang ada orang yang menelefon saya bertanya adakah saya positif Covid kerana mereka membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh presiden (Muthu). Satu lagi, bukan saya tidak menyemak emel. Emel keputusan Covid itu tidak dihantar kepada saya.

"Presiden pula sampai sekarang langsung tidak menelefon atau bertanyakan khabar saya mahupun Haiqal. Kemudian sesuka hati membuat kenyataan yang saya ini positif. Itukah seorang presiden yang bertanggungjawab. Saya memang kecewa dengan pengurusan sekarang," kata pemegang rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.18 saat itu.

Hafiz yang juga raja pecut Asia Tenggara 2017 itu berkata, dia sudah siap sepenuhnya untuk memberikan yang terbaik dan berhasrat melakar impak di Kejohanan Olahraga Qosanov Memorial di Almaty, Kazakhstan, kejohanan antarabangsa pertamanya selepas lebih setahun tidak menyertai pertandingan antarabangsa akibat Covid-19.

Namun hasrat itu terpaksa dibatalkan berikutan raja pecut Asia Tenggara 2017 itu menjadi kontak rapat kepada Haiqal yang juga raja pecut Asia Tenggara 2019 yang dimaklumkan positif Covid-19 sebelum berlepas ke Kazakhstan apabila tidak dimaklumkan lebih awal oleh pegawai Majlis Sukan Negara (MSN).

"Sekarang ini saya ingin bertanya kepada KOM apa yang mereka inginkan daripada kami. Mungkin sebab saya dan Haiqal hanya pelari biasa jadi mereka boleh sesuka hati bertindak sebegitu. Adakah mereka berdendam dengan kami kerana tidak mahu berlatih di Bukit Jalil lagi?

"Mana rasa tanggungjawab mereka sebagai badan induk yang menjaga kepentingan atlet negara," kata Hafiz yang sudah boleh kembali berlatih seperti biasa selepas tamat tempoh kuarantin kendiri hari ini apabila ujian calitan kedua yang dijalankannya juga negatif.

Turut merasa terkilan dengan tindakan KOM ketika itu adalah atlet lompat tinggi negara, Nauraj Singh yang kini berpangkalan di Eropah.

Nauraj turut meluahkan rasa tidak puas hatinya kerana mengeluarkan kos sendiri mencecah RM50,000 sejak Oktober tahun lalu untuk berlatih dan menyertai kejohanan di Eropah dalam usahanya untuk layak ke Olimpik.

Selain itu pengurusan KOM terus menjadi bualan hangat apabila mereka dikatakan ingin membawa pengurus pasukan mengiringi seorang lagi atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei ke Olimpik dan bukannya membawa jurulatih.

Ia dilihat langsung tiada keperluan untuk membawa pengurus selain dilihat hanya mempunyai agenda tertentu.

Disiarkan pada: June 24, 2021 @ 10:48pm
d