Sukan Lain

Ilmu berguru di Eropah sandaran Shazrin

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Pengalaman berkampung di Eropah hampir dua minggu mahu digunakan sebaiknya buat atlet pelayaran negara, Nur Shazrin Mohd Latif sebelum menjejakkan kaki di Jepun bulan depan untuk beraksi buat kali kedua di Olimpik.

Shazrin yang beraksi dalam acara Laser Radial wanita mengakui banyak perkara yang dipelajarinya ketika berlatih dan beraksi di Portugal serta Belanda terutama bagaimana untuk turun ke laut dengan lebih agresif.

"Ia memberikan saya keyakinan namun saya tidak boleh terlalu agresif dan berhati-hati agar tidak melanggar peraturan. Dua elemen ini, agresif dan berkeyakinan tinggi harus sentiasa dilebihkan untuk beraksi di Olimpik," katanya dalam sidang media kontinjen Malaysia Sukan Olimpik Tokyo 2020. Atlet berusia 23 tahun itu mengakui ada beberapa perkara perlu dipertingkatkan lagi selain memperbaiki segala kesilapan agar kali ini dia mampu beraksi lebih baik berbanding di Brazil pada 2016. "Ketika di Rio saya masih lagi 'budak' tidak tahu banyak perkara. Bagi kali kedua ini saya berharap pengalaman lalu mampu membantu saya. Saya harap dapat mempertingkat prestasi dan dapat meraih kedudukan lebih baik berbanding sebelum ini. "Apa pun untuk mendapatkan keputusan yang baik saya harus bermula dengan baik. Ketika pandemik inisaya rasa semua atlet sama saja kurang kejohanan dan latihan. Jadi ia terbuka untuk mendapatkan keputusan lebih baik, yang penting harus memberikan segala-galanya," katanya. Ketika di Rio, Shazrin menduduki tempat ke-33 daripada 37 atlet yang mengambil bahagian dan dia juga berjaya melayakkan diri ke Tokyo selepas meraih gangsa di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018. Sementara itu, jurulatih pelayaran, Hafizi Roslee berkata, setakat ini persiapan ke Olimpik semuanya berjalan lancar terutama selepas Shazrin baru pulang dari Faro, Portugal dan Medemblik, Belanda. "Kami sedang memasuki proses latihan terakhir sebelum ke Tokyo 8 Julai depan. Persediaan akhir ini adalah untuk memperbaiki segala kesilapan yang ada. "Tidak banyak kesilapan besar, cuma yang kecil saja di mana ia perlu diperbaiki melihat daripada sudut dari seorang jurulatih," katanya. Selepas bertolak ke Tokyo, skuad pelayaran negara akan menjalani kuarantin dan dibenarkan untuk menguji laut di Enoshima Yacht Harbor pada 14 Julai. Selain Shazrin tiga lagi atlet pelayaran negara, Khairulnizam Afendy (Laser lelaki) dan Nuraisyah Jamil bersama Juni Noor Jamali (470 wanita) akan beraksi dari 25 Julai hingga 4 Ogos di temasya berkenaan.

Disiarkan pada: June 28, 2021 @ 6:51pm
d