Sukan Lain

30 atlet negara ke Olimpik Tokyo

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengumumkan senarai akhir 30 atlet negara yang akan menggalas cabaran ke Temasya Olimpik Tokyo bermula 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

Menerusi kenyataan media MOM menyaksikan kem badminton paling ramai penyertaan ke temasya itu dengan lapan pemain akan membawa cabaran membabitkan perseorangan dan beregu lelaki serta wanita selain turut mempunyai wakil dalam beregu campuran.

Katanya, acara terjun yang berpotensi memenangi pingat pula menyaksikan Malaysia menghantar lima wakil negara bagi menghadapi temasya sukan itu.

Lain-lain sukan adalah membabitkan pelayaran (4 atlet) memanah (2 atlet), olahraga (2 atlet), basikal (2 atlet), golf (2 atlet), gimnastik (2 atlet), menembak (1 atlet) dan berenang (2 atlet).

Sementara itu, Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengucapkan tahniah kepada atlet negara yang berjaya melayakkan diri ke temasya yang diadakan empat tahun sekali itu.

"Kita mempunyai kurang tiga minggu untuk persediaan ke sukan terbabit dengan atlet pelayaran antara paling awal akan tiba ke Tokyo iaitu pada 8 Julai.

"Persediaan akhir atlet adalah memberi penekanan untuk perbaiki kelemahan mereka menerusi kerjasama Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara (MSN)," katanya.

Pada temasya Olimpik 2016, Malaysia menghantar seramai 32 orang atlet membabitkan 10 acara sukan.

Olimpik 2016 menyaksikan Malaysia berjaya memperoleh lima pingat (empat perak dan satu gangsa) sekali gus menyaksikan pencapaian terbaik sepanjang tempoh penyertaan Malaysia dalam sukan berkenaan.

Disiarkan pada: July 2, 2021 @ 6:53pm
d