Sukan Lain

Azizul persiap taktik ampuh hadapi Olimpik

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: "Seandainya, aku berada di depan, di tengah, dikepung, di belakang," semua itu harus difikirkan jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang sebelum turun beraksi di Sukan Olimpik Tokyo dalam acara keirin.

Tenyata peluang mengadakan kem latihan terakhir di Velodrom Nasional, Nilai digunakan sebaiknya buat Azizulhasni untuk mencongak strategi dan menguji kemampuannya sebelum berdepan jagoan dunia seperti Yuta Wakimoto, Yudai Nitta dan Jason Kenny.

Menurut pelumba berusia 33 tahun itu, dia masih lagi fokus dan berikan yang terbaik walaupun mempersiapkan diri dengan pelumba tempatan dan juga ada yang di peringkat remaja.

"Kena berlatih untuk menyesuaikan dalam perlumbaan nanti di Tokyo, penat tak penat kita harus terus berjuang. Saya tidak fokus untuk menang (dalam perlumbaan latihan) tapi fokus menggunakan taktik berbeza.

"Taktik di mana jika saya berada dalam situasi sukar atau tidak memberi kelebihan, contoh jika dikepung, terperangkap di belakang. Kalau berada di posisi yang senang ia tidak ada masalah buat saya untuk mengawalnya dengan baik," kata Azizulhasni dalam dalam vlog khas episod satu, VLog OlympicTkyo di YouTube hari ini.

Dalam masa sama Azizulhasni atau terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman mahu memberi 'pengajaran' kepada pelumba muda dan pelapis bagaimana rentak kayuhan pelumba elit.

"Rasa seperti final, berlumba dengan pelumba profesional, juara dunia dan juara kebangsaan," kata pelumba muda trek negara, Safwan Nazeri selepas pusingan suku akhir.

"Di dalam Vlog episod lima ini saya kongsikan dengan anda semua mengenai perlumbaan terakhir di dalam latihan simulasi kami iaitu acara kegemaran saya, keirin.

"Mengikut format di Olimpik Tokyo nanti, acara keirin ini akan berlangsung selama dua hari. hari pertama adalah pusingan kelayakan dan hari berikutnya ada tiga pusingan iaitu suku akhir, separuh akhir dan akhir," kata Azizulhasni.

Acara berbasikal trek di Olimpik akan berlangsung di Velodrom Izu dari 2 hingga 8 Ogos depan.

Disiarkan pada: July 5, 2021 @ 7:13pm
d