Sukan Lain

Azizulhasni tarik perhatian dunia

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang bukan saja menjadi tumpuan media tempatan malah turut diberi penghormatan oleh wartawan antarabangsa apabila disenaraikan antara 10 atlet yang harus diberi perhatian menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Menyedari bahawa harapan yang diberikan Azizulhasni pada temasya kali ini sangat penting, malah dia juga antara pelumba senior untuk acara berbasikal trek, The Sydney Morning Herald menjangkakan The Pocket Rocketman mampu melakar sesuatu lebih besar berbanding di Rio 2016.

"Berikut adalah 10 bintang antarabangsa yang mesti anda berikan perhatian sebaik sahaja temasya ini berlangsung," jelas akhbar berkenaan.

Azizulhasni yang meraih gangsa di Rio berada sebaris dengan juara dunia olahraga jarak jauh, Joshua Cheptegei dari Uganda dan perenang sensasi Amerika Syarikat, Katie Ledecky serta atlet angkat berat Sepanyol, Lydia Valentin pemenang pingat emas Olimpik London.

"The 'Pocket Rocketman' menjadi wira di Olimpik Rio apabila meraih pingat pertama di temasya berkenaan selepas meraih gangsa dalam acara keirin.

"Dalam acara yang lebih tertumpu kepada perlumbaan, taktik dan kepantasan, Azizulhasni tidak ada sasaran lain kecuali mengejutkan negara kuasa besar untuk meraih emas di Tokyo.

"Azizulhasni akan berdepan beberapa pelumba dari negara yang terkenal dengan sukan berbasikal, namun dia dijangka tidak akan melakukan urutan mengundur.

"Siapa saja yang memandang rendah kemampuan bintang berbasikal Malaysia ini, pasti akan mendapat pengajaran berguna," kata The Sydney Morning Herald.

Pelumba kelahiran Dungun itu membuat penampilan pertama di Olimpik pada 2008 di Beijing apabila menduduki tempat ke-10 selepas terkandas di separuh akhir dalam acara keirin.

Empat tahun kemudian di London dia berjaya mara ke final acara berkenaan tapi menduduki tempat keenam.

Di Rio 2016 dia sekali lagi mara ke saingan akhir dan kali ini berjaya membawa pulang gangsa selepas tumpas kepada Jason Kenny (Great Britain) yang meraih emas dan pemenang pingat perak dari Belanda, Matthijs Buchli.

Disiarkan pada: July 11, 2021 @ 6:41pm
d