Sukan Lain

Kara positif Covid-19

Oleh AFP

Tokyo: Atlet gimnastik wanita Amerika Syarikat (AS) disahkan positif Covid-19 di kem latihan Olimpik dan seorang lagi sudah melakukan pengasingan kendiri, jelas ketua pasukan dan pegawai Jepun.

Gimnas berkenaan ialah Kara Eaker yang berusia 18 tahun dan diletakkan sebagai atlet simpanan dalam skuad yang diketuai oleh bintang sensasi mereka, Simone Biles.

Eaker melakukan pengasingan kendiri bersama seorang lagi kontak rapat dalam pasukan berkenaan, jelas bapa atlet berkenaan kepada CNN.

Beliau berkata, anaknya diuji positif di kem latihan pasukan di Inzai, bandar yang terletak 30 kilometer dari Tokyo dan tidak mengalami sebarang simptom serta sudah lengkap mengambil vaksin Covid-19.

"Kami mengesahkan bahawa atlet remaja dalam pasukan berkenaan disahkan positif.

"Seorang lagi atlet diklasifikasikan sebagai kontak rapat. Dia juga tinggal berseorangan di dalam biliknya di tempat penginapan mereka," kata pegawai bandar Izai, Kimiya Kosaku yang tidak menyebut nama Eaker.

Kyode News berkata, atlet lain dipindahkan ke Perkampungan Olimpik tengah hari semalam.

"Keselamatan dan kesihatan atlet, jurulatih dan staf menjadi keutamaan kami. Sejajar dengan peraturan dan protokol setempat, atlet berkenaan dipindahkan ke hotel untuk dikuarantin," kata Jawatankuasa Olimpik AS (USOC).

Disiarkan pada: July 20, 2021 @ 10:02am
d