Sukan Lain

Azizul bayang penonton penuhi venue

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pelumba berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menggunakan pendekatan sains sukan dengan berimaginasi atau membayangkan venue dipenuhi penonton ketika beraksi di Sukan Olimpik Tokyo.

Hal ini kerana semua acara sukan yang dipertandingkan di temasya Olimpik Tokyo 2020 berlangsung tanpa kehadiran penonton sekali gus suasana akan sendu dan kurang menyengat berbanding kejohanan sama sebelum ini.

Azizul berkata, tanpa kehadiran penonton sebenarnya menjejaskan moral atlet yang memerlukan sokongan mereka untuk meniup semangat beraksi lebih hebat.

"Rasa lain akan jadi sunyi seperti berlatih (tanpa penonton) tapi bagi saya akan menggunakan salah satu elemen sains sukan dengan gambaran visual apabila berlatih atau bertanding nanti menggambarkan ada penonton bersorak," katanya.

Sementara itu, pelumba berasal dari Kuala Dungun, Terengganu itu akhirnya mendedahkan secara rasmi basikal yang bakal digunakan pada temasya Olimpik Tokyo di laman Instagram miliknya.

Basikal model WX-R Vorteq akan dibawa ke Tokyo nanti dengan setiap seorang termasuk Shah Firdaus Sahrom akan dibekalkan dengan tiga buah basikal.

Versi terbaru itu sudah ditambah baik dengan warna hitam berkilat dan kualiti lebih mantap berbanding 'jentera' lama yang pernah digunakannya.

Azizul berkata, basikal berharga RM300,000 itu termasuk kos kajian dan pembangunan dan diuji untuk membantu mengekalkan momentum ketika kayuhan.

"Walaupun basikal berkenaan membantu, perkara penting adalah kaki kita ini sekali gus menentukan ketika bersaing nanti," katanya.

Disiarkan pada: July 21, 2021 @ 10:11pm
d