Sukan Lain

Mel buru gelaran di Tokyo

Oleh Agensi

London: Pemain golf Britain, Mel Reid akan mengetepikan saingan Kejuaraan Evian di Perancis minggu ini bagi membolehkan dia bertanding di Olimpik.

Pemain berusia 33 tahun dan berada di ranking 38 dunia mengetahui sekatan perjalanan yang bakal dihadapi yang mendorong kepadanya untuk menarik diri di kejohanan terbabit.

Kuarantin selama 10 hari selepas kembali dari kejohanan itu, yang bermula hari ini, menyebabkan dia terlepas saingan temasya di Tokyo.

"Risiko terlepas peluang sekali seumur hidup untuk bertanding sebagai Olimpian sangat tinggi," kata Mel dalam satu kenyataan.

"Sangat kecewa kerana terpaksa menarik diri daripada Kejuaraan Evian tahun ini berikutan syarat ketat mengenai sekatan perjalanan untuk memasuki semula United Kingdom dari Perancis sebelum berlepas bersama pasukan Olimpik.

"Saya berusaha gigih bersama pasukan saya dan saingan LPGA untuk mencari jalan bertanding dalam kedua-dua kejohanan tetapi malangnya dalam keadaan sekarang, tidak ada jaminan mengenai penyelesaian yang tepat."

Kejuaraan Evian adalah satu daripada dua kejohanan utama bagi Jelajah Eropah Wanita.

Mel mencatat satu kejuaraan LPGA dalam karier pada Oktober lalu di ShopRite LPGA Classic.

Selain Mel, pemain pasukan golf Britain membabitkan Jodi Ewart Shadoff, Paul Casey dan Tommy Fleetwood.

Disiarkan pada: July 22, 2021 @ 11:03am
d