Sukan Lain

Olimpik janggal tanpa penonton, atlet kurang

Oleh AFP

Tokyo: Salah satu detik janggal dalam sejarah Olimpik akan disaksikan apabila majlis pembukaan Sukan Olimpik Tokyo 2020 diadakan di depan ribuan kerusi kosong, esok.

Hanya 1,000 orang akan hadir di Stadium Olimpik yang memiliki 68,000 tempat duduk untuk acara tradisi gilang gemilang itu, yang juga satu peluang pesta bagi penganjur.

Kali ini, selepas ditangguhkan setahun kerana pandemik Covid-19, orang awam di Jepun dilarang hadir ke kejohanan itu kerana bimbang berlaku jangkitan kepada pelawat.

Majlis pembukaan itu diubah suai bagi mengelakkan orang ramai berkumpul dengan perarakan kontinjen yang menampakkan peserta tersenyum sambil melambai tangan, dikecilkan.

Imbasan raptai acara itu boleh disaksikan penduduk Tokyo menerusi pertunjukan berteknologi tinggi termasuk menggunakan dron.

Maharaja Jepun, Naruhito antara orang kenamaan akan hadir di samping First Lady Amerika Syarikat, Jill Biden dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

Tokyo 2020 melalui persiapan yang sukar dan upacara pembukaan turut tidak terkecuali, berikutan pemecatan beberapa orang menjelang upacara pembukaan.

Pengarah majlis pembukaan, Kentaro Kobayashi dipecat pada saat akhir berikutan sketsa komedi pada 1998 mengenai penindasan Nazi terhadap Yahudi atau dikenali 'Holocaust'.

Ia hadir tiga hari selepas komposer untuk majlis itu meletak jawatan kerana tidak puas hati dengan sesi temu bual yang disifatkan menghina rakan sekolahnya yang cacat.

Pengarah kreatif majlis pembukaan dan penutup, Hiroshi Sasaki meletak jawatan pada Mac lalu selepas isu mengenai penampilan ahli komedi wanita.

Kesedaran tehadap virus Covid-19 cukup tinggi di Jepun pada ketika Tokyo diletakkan dalam darurat kesihatan apabila Olimpik bermula.

Kes di ibu negara itu mencecah 1,832 kes pada Rabu iaitu jumlah tertinggi sejak Januari lalu. Pakar menjangkakan kes baharu akan mencapai 2,600 pada awal Ogos.

Disiarkan pada: July 22, 2021 @ 10:30pm
d