Sukan Lain

Olimpik Tokyo 2020 bermula secara rasmi

Oleh AFP

Tokyo: Selepas ditangguhkan setahun kerana Covid-19, upacara pembukaan Sukan Olimpik Tokyo 2020 disempurnakan malam ini dalam keadaan stadium hampir kosong dan persiapan yang dicemari skandal serta kontroversi.

Video menunjukkan atlet berlatih di rumah akibat pandemik memulakan upacara itu, selain mercun dan bunga api memenuhi ruang udara,.

Beberapa ratus orang kenamaan dan pegawai hadir dalam stadium dengan kapasiti 68,000 orang itu, termasuk Maharaja Jepun, Naruhito; Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS), Jill Biden.

Naruhito merasmikan pembukaan Tokyo 2020.

Temasya itu dibantah ramai penduduk di Jepun yang bimbangkan perhimpunan 11,000 atlet akan menyebabkan jangkitan Covid-19.

Penganjur memperkenalkan peraturan ketat seperti melarang peminat dari luar negara iaitu yang pertama dalam sejarah Olimpik dan penonton tempatan turut dilarang memenuhi gelanggang pertandingan.

Atlet, staf sokongan dan media turut tertakluk kepada protokol ketat Covid-19 termasuk ujian saringan berterusan dan pemeriksaan kesihatan harian.

Undian menunjukkan majoriti penduduk Jepun membantah penganjuran Tokyo 2020, tetapi beratus-ratus orang bersemangat berada di luar Stadium Olimpik menjelang upacara pembukaan.

Mereka berkumpul untuk merasai suasana dan melihat bunga api pada majlis yang sepatutnya berlangsung gilang-gemilang dan menjadi kebanggaan negara tuan rumah.

Beberapa penaja utama termasuk Toyota dan Panasonic tidak hadir dalam upacara pembukaan itu.

Manakala beratus-ratus orang mengadakan protes berhampiran stadium.

Tokyo kini berperang dengan wabak itu dan dalam perintah darurat kesihatan yang bermakna bar dan restoran ditutup pada 8 malam dan tidak boleh menjual alkohol.

Disiarkan pada: July 23, 2021 @ 8:16pm
d