Sukan Lain

Perenang kurang ternama Tunisia menang emas

Oleh AFP

Tokyo: Perenang remaja Tunisia, Ahmed Hafnaoui melakukan kejutan apabila memenangi pingat emas acara 400 meter (m) gaya bebas di kolam renang Olimpik Tokyo hari ini.

Atlet berusia 18 tahun itu mempamerkan prestasi terbaik 50m menuju penamat dengan catatan masa 3:43.36 saat (s) sekali gus mengatasi perenang Australia, Jack McLoughlin (3:43.52s) dan perenang Amerika Syarikat (AS), Kieran Smith meraih gangsa dengan catatan 3:43.94s.

Ia adalah pencapaian luar biasa bagi atlet remaja itu yang kurang menempa nama di kejohanan besar.

"Saya tidak mempercayainya, ia amat menakjubkan. Saya berasa amat baik ketika beraksi hari ini dan semalam. Saya kini juara Olimpik," katanya.

"Saya hanya beraksi seperti biasa. Saya masih tidak mempercayainya dan ia umpama mimpi jadi kenyataan."

Perenang Australia, Elijah Winnington pada awalnya mendahului saingan ketika memasuki 100m.

Bagaimanapun McLoughlin mengatasinya selepas 200m dan dilihat berpeluang meraih emas sebelum Hafnaoui mempamerkan kuakan bertenaga untuk muncul pemenang.

Disiarkan pada: July 25, 2021 @ 10:45am
d