Sukan Lain

TYT Melaka kunjungi lokasi latihan Hidilyn

Oleh Nazri Abu Bakar

Jasin: Kampung Kesang Tua hari ini menerima tetamu istimewa apabila Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam membuat kunjungan dan meninjau lokasi latihan jaguh angkat berat Filipina, Hidilyn Diaz yang meraih pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 kelmarin.

Dalam lawatannya, Mohd Ali meluangkan masa selama kira-kira 20 minit melihat sendiri keadaan 'gimnasium kampung' itu sehingga ia mengharumkan nama Nyalas dan Melaka.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai merangkap Penyelaras DUN Bemban, Datuk Hasan Abd Rahman serta Naib Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Ahmad Janius Abdullah yang juga bapa angkat kepada atlet Filipina itu.

Menurut Janius, kejayaan Hidilyn di temasya sukan terbesar dunia diharap dapat menjadi inspirasi kepada atlet negara selain menjadi suntikan perangsang kepada enam anak didik yang kini bersamanya dalam sesi latihan ketika ini.

Kata Janius, bukan mudah untuk meraih emas Olimpik. Justeru kesemua mereka diminta mencontohi kegigihan Hidilyn melakukan persiapan ke temasya sukan itu termasuk dari segi rehat, makanan, teknik dan amalan harian semasa latihan dan luar latihan.

Baginya, ramuan untuk mereka mengikut jejak Hidilyn sudah ada kerana mereka bersamanya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) cuma usaha perlu dipertingkat untuk memenuhi sasaran dan impian emas atlet negara di Olimpik.

"Hidilyn berada di sini sejak September tahun lalu dan kami menghantarnya ke KLIA pada 18 Julai lalu untuk dia terbang terus ke Jepun. Nasihatnya kepada atlet yang pernah bersamanya juga mampu menjadi azimat berharga buat mereka.

"Apapun, kami amat bangga kerana selain emas dia memecahkan dua rekod Olimpik kategori wanita 55 kilogram (kg). Walaupun berlainan bangsa dan agama dia seperti keluarga sendiri kerana sukan tiada sempadan dan perbezaan,"kata bekas atlet angkat berat Melaka 1993-1999 terbabit.

Disiarkan pada: July 28, 2021 @ 3:15pm
d